Politik

Tidak perlu gopoh adakan pilihan raya negeri Sarawak

KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-12 tidak akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Beliau, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata, tempoh akhir untuk PRN ke-12 ialah pada tahun hadapan.

“Apa yang nak digopohkan (untuk mengadakan pilihan raya). Tempoh akhirnya 2021… Tahun 2021 lah,” katanya ringkas kepada pemberita di Wisma Bapa di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa jentera GPS berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk ‘bertempur’ pada bila-bila masa sahaja.

PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021.

Namun, berdasarkan rekod lepas, PRN Sarawak diadakan sehingga setahun lebih awal daripada tarikh penggal dewan undangan negerinya berakhir.

Pada PRN-11 yang diadakan pada 2016, empat parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak telah memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seterusnya, empat parti komponen itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) mengumumkan keluar dari BN pada 12 Jun 2018 susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketika ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, di mana tujuh daripada mereka dari DAP, manakala tiga lagi dari PKR. – BERNAMA

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button