Ekonomi

OPR kekal pada 3.0 peratus

Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia yang bermesyuarat hari ini membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.00 peratus.

Bank Negara dalam kenyataan berkata, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.

Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan. Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik manakala pertumbuhan China  mungkin kekal sederhana berikutan pasaran harta tanah yang terus lemah.

Perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini.

Walau bagaimanapun, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata.

Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7% pada tahun 2023. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun 2024, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak bulan Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan.

Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5% dan 1.8% pada bulan Januari 2024. Trend ini adalah selari dengan jangkaan. Inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.

Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.

Walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.

Kerajaan dan Bank Negara Malaysia sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan
Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.

Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang  berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil. – SM

(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button