Nasional

ANGKASA sokong budiman lancar Koperasi KOBUDI

USAHA Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) menubuhkan Koperasi Penulis Budiman (KOBUDI) disambut baik dan dianggap tepat walaupun sebuah persatuan yang ahlinya terdiri daripada penulis dan akademia.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pengurusan Dalam Sastera (SKePS 1.0) anjuran BUDIMAN di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City semalam.

Dr Abdul Fattah (tiga dari kanan)dan Prof Azhar ( dua dari kanan) bersama tetamu selepas merasmikan SKePS 1.0 seterusnya melancarkan KOBUDI di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Katanya, ANGKASA tidak terkecuali dalam menyokong usaha untuk memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu khususnya khazanah warisan watan yang tiada tandingannya.

Beliau yang turut melancarkan buku Metode Pengurusan Dalam Sastera tulisan Dr. Fathin Noor Ain Ramli berkata ANGKASA juga giat menjalinkan hubungan kerjasama dengan menyambut baik hasrat KOBUDI dan BUDIMAN dalam menyemarakkan pembabitan masyarakat dalam pengurusan kesusasteraan Melayu.

Timbalan Presiden ANGKASA, Dr Mohd Azlan Yahya yang menyampaikan ucaptama dua bertajuk ” Membina Pengurusan Integriti Dalam Organisasi” antara lain berkata nilai integriti diutamakan untuk kejayaan sesebuah organisasi.

Pengerusi KOBUDI , Prof Dr Azhar Wahid berkata idea penubuhan KOBUDI sebagai inisiatif memelihara kebajikan ahli persatuan khususnya penulis.

Beliau yang turut membentangkan kertas bertajuk “Konsep kepimpinan keusahawanan yang terdapat dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan” berkata KOBUDI akan meneroka bidang perniagaan berkaitan dunia kesusasteraan , bahasa dan kebudayaan serta akademik.

Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali berkata KOBUDI adalah satu usaha baharu untuk membuka lebih banyak ruang kepada penulis-penulis BUDIMAN berpatisipasi dalam dunia penulisan dengan lebih aktif dan terbuka.

“Menerusi KOBUDI, BUDIMAN berhasrat memperluaskan peluang dan pelaksanaan pelbagai program,” katanya.

Katanya, KOBUDI diharapkan boleh menjadi wadah bukan sahaja aktif dalam akademik, namun boleh menjadi platform mengangkat akademik.

Pembentang dan penggerak SKePS 1.0 bergambar kenangan selepas tamat seminar.

Selain itu, katanya, BUDIMAN adalah satu-satunya persatuan penulis di Malaysia yang menerbitkan jurnal berwasit iaitu Jurnal Antarabangsa RUMPUN.

BUDIMAN sebagai sebuah institusi pembangunan dan penyebaran kesusasteraan Melayu, katanya, berperanan memberi informasi kegiatan persatuan dalam lingkaran ilmu sastera, bahasa, seni, budaya, sejarah dan peradaban Melayu di Malaysia dan antarabangsa.

Prof Abdul Halim menyampaikan ucaptama.

SKePS 1.0 menyaksikan ucaptama disampaikan oleh Prof Dr Abdul Halim Ali dengan tajuk “Pembangunan Modal Insan Dalam Pengurusan Organisasi” dan turut membentang pencetus konsep Pengurusan Dalam Sastera, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan dengan tajuk “Prinsip Kepimpinan Keusahawanan Dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto dan Arus , Karya Anwar Ridhwan”.

Selain itu lebih 20 kertas kerja dibentangkan membabitkan akademia Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI), Universiti Malaysia Kelantan ( UMK) serta Universiti Putra Malaysia(UPM). -SM

Baca : UPSI anjur sambutan Pink Oktober tekankan penjagaan kesihatan

(Visited 29 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button