Nasional

Antara intipati Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini walaupun tidak mendedahkan kerugian atau ketirisan besar yang baharu, masih ada beberapa penemuan membabitkan kementerian, agensi jabatan kerajaan, syarikat kerajaan persekutuan yang menunjukkan pengurusan kewangan yang lemah yang perlu diperbaiki.

Antara intipati utama penemuan:

1. Kerugian terkumpul Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga 31 Dis 2018 berjumlah RM2.829 bilion.

  1. Pengauditan pematuhan pengurusan geran menunjukkan baki geran berjumlah RM83.67 juta bagi 67 projek pembangunan yang telah disiapkan serta program-program masih belum dipulangkan kepada Perbendaharaan.
  2. Daripada 47 syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] yang dinilai berdasarkan penyata kewangan beraudit, empat syarikat adalah kukuh, 33 stabil dan 10 kurang stabil. Syarikat yang didapati kukuh adalah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Prokhas Sdn Bhd, MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd.
  3. Kelemahan dan ketidakcekapan penganjuran Temasya Kuala Lumpur 2017 (Temasya KL 2017) daripada segi perolehan, penyediaan dan kelewatan menandatangani kontrak, kawalan hasil jualan tiket serta perbelanjaan yang tidak mematuhi peraturan kewangan.
  4. Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) diurus dengan kurang cekap yang mengakibatkan kelewatan penyiapan projek, bayaran insentif kepada pemaju yang meragukan dan insentif kepada pembeli yang masih tidak dipulangkan oleh pemaju.
  5. Pengurusan Skim Subsidi dan Insentif Pesawah bagi meningkatkan bekalan beras negara tidak dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan dengan ramai pesawah yang telah meninggal dunia dan mereka dengan nombor kad pengenalan mencurigakan turut menerima subsidi.
  6. Dua projek iaitu projek janakuasa Geothermal di Sabah dan Universiti Perdana di Seri Kembangan dengan bantuan Dana Mudahcara membabitkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berjumlah RM248 juta gagal disiapkan. Dana RM191 juta atau hampir 90 peratus daripada jumlah kos telah disalurkan bagi universiti itu.
  7. Pengurusan Program Integrasi Lembu di Ladang Kelapa Sawit kurang berkesan dengan populasi lembu hanya 41,443 ekor pada 2018 berbanding sasaran 300,000 ekor menjelang tahun 2020.
  8. Prestasi Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) menghampakan kerana setakat 30 April 2019, hanya 1,498 rumah disiapkan berbanding sasaran 20,000 rumah untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun mulai 2013.
  9. Sejumlah RM107.1 juta hutang membabitkan kempen pengiklanan promosi pelancongan sejak tiga tahun lepas masih tertunggak.
  10. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Berhad (PRB) mempunyai defisit tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM27.94 juta iaitu meningkat sejumlah RM24.30 juta (667.6 peratus) berbanding defisit sejumlah RM3.64 juta tahun 2017,
  11. Penyaluran peruntukan berjumlah RM10.63 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi pembekalan Mushaf Al-Quran untuk kegunaan tahun 2019 dibuat tanpa kelulusan Pegawai Pengawal.

Sementara itu, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam satu kenyataan berkata setakat 30 Ogos lepas Jabatan Audit Negara (JAN) telah menjalankan pengauditan penyata kewangan ke atas 113 agensi Persekutuan bagi tahun kewangan 2018.

Daripada jumlah itu, 99 penyata kewangan diberi pendapat tanpa teguran, enam diberi pendapat tanpa teguran dengan perenggan ‘emphasis of matter’ (EOM) dan lapan diberi pendapat berteguran.

Sementara itu, 35 penyata kewangan masih belum dimuktamadkan manakala dua penyata kewangan agensi Persekutuan belum diterima.

Sebanyak 12 pengauditan prestasi telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan, manakala di peringkat negeri sebanyak 21 pengauditan prestasi telah dijalankan yang mana pengauditan merangkumi pelbagai bidang, antaranya pengurusan program/aktiviti, pembinaan, naik taraf, penyenggaraan dan pengurusan hasil.

Sebanyak tujuh pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Selain itu, analisis kewangan dan pemantauan terhadap Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] turut dilaporkan dalam LKAN siri 4/6 ini.

Pengauditan di peringkat negeri pula melibatkan sembilan syarikat. – BERNAMA

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button