Nasional

Pelajar perlu bijak berinteraksi dan peka – Raja Muda Perlis

Seseorang pelajar itu perlu menanamkan dalam diri untuk berinteraksi dan peka dengan keadaan sekeliling ibarat ‘sesumpah’ yang boleh berubah mengikut keadaan.

Pelajar harus pantas menerima sebarang perubahan contohnya situasi kini di mana pelajar perlu melalui pembelajaran dalam talian, maka suka atau tidak pelajar harus mengadaptasi perubahan ini demi mendalami ilmu dan cemerlang dalam pengajian. Jangan rasa sedih atau tertekan dengan perubahan ini tetapi sentiasa berfikirkan positif serta yakin bahawa ada hikmah di sebaliknya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Program Jalinan Mesra Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2019/2020 bersama Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di perkarangan Istana Arau.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor universiti beserta anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Tuanku Raja Muda yang juga selaku Tuanku Canselor UniMAP menambah bahawa apabila semua MPP menamatkan tempoh tanggungjawab pada bulan Januari yang akan datang, maka masing-masing akan kembali menjalani kehidupan biasa sebagai pelajar dan tidak lagi memegang jawatan. Tetapi ingatlah bahawa mereka pernah menjadi pemimpin dan tidak memegang jawatan itu tidak bermakna harus hilangkan karisma seperti ketika menjadi pemimpin dahulu. Walau hanya sebagai bekas pemimpin, pelajar perlu tonjolkan kewibawaan diri dan menjadi contoh kepada yang lain. Pamerkanlah nilai dan akhlak murni supaya terus dicontohi, dihormati serta dikenang sebagai MPP yang berkaliber.

Seterusnya Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan kepada semua MPP supaya
bila ‘kembali’ dalam kelompok pelajar biasa, haruslah bertindak sebagai agen perubahan kepada pemikiran dan tingkah laku rakan-rakan. Dekatkanlah diri dengan kelompok pelajar lain serta sampaikanlah agenda universiti. “Sebelum ini, andalah ‘jurucakap’ serta ‘wakil’ kepada rakan-rakan dengan menyalurkan permasalahan mereka kepada universiti. Kini, tibalah masanya untuk menyampaikan pula hasrat dan harapan UniMAP terhadap para pelajar”.

Pada kesempatan yang sama baginda turut menitahkan ucapan berbanyak terima kasih dan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan MPP dan pengurusan UniMAP di atas segala sumbangan sepanjang menghadapi COVID-19 ini. Tahniah juga kepada Yang DiPertua MPP, Syahirunnisa Ramli yang telah berjaya menggerakkan semua MPP untuk berkhidmat kepada rakan-rakan yang berada di kolej sepanjang PKP yang lalu dan jasa tersebut akan kekal dikenang.

Program yang diatur menarik tersebut melibatkan para MPP UniMAP mengadakan kunjungan ke Galeri DiRaja Arau, menyertai tele-match serta menghadiri majlis santapan dan penyampaian hadiah.

(Visited 438 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button