NasionalNegeri

Ibu tonggak bangunkan kemahiran insaniah anak – Raja Puan Muda

RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah, wanita atau ibu merupakan tonggak utama dalam membangunkan kemahiran insaniah anak-anak di dalam zaman digital ini.

Baginda bertitah, walaupun di zaman ini, rata-rata para ibu juga adalah berkerjaya tetapi kepentingan utama bagi seorang ibu adalah keluarga.

Titah Baginda, fitrah seorang ibu sememangnya menjurus kepada cara didikan dan kasih sayang mereka kepada anak-anak.

“Kemajuan digital memudahkan komunikasi dan interaksi di kalangan ahli keluarga meskipun mereka berada jauh di antara satu sama lain,” titah Baginda.

Sehubungan itu, titah Baginda hubungan ahli keluarga dan masyarakat menjadi lebih akrab dibantu oleh kemajuan era ini.

Demikian titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen ketika berkenan merasmikan Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – ’Women In Search of Excellence’ berjudul ‘Sentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital’.

Webinar Siri ke-20 tersebut anjuran bersama antara pihak YTF dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE). Ia turut mendapat kerjasama teknikal daripada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis.

Sebelum titah Raja Puan Muda merangkap Pengerusi YTF, turut disampaikan ialah ucapan oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Webinar kali ini turut disertai oleh panel-panel wanita dan pakar dari universiti-universiti dalam dan luar negara terdiri daripada Prof. Dr. Lua Pei Lin, Dekan Fakulti Farmasi, UNISZA; Prof. Adjuct Dr. Marniati, Rektor Universitas Ubudiyah, Indonesia; Prof. Dr. Xiaoyang Muo, University of Yamanashi, Jepun; serta Prof. Madya Dr Amani Ali, mantan pensyarah UniMAP berasal dari Mesir. Anis Jazilah Azmin, Pengarah Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertindak sebagai Pengulas.

Perasmian pembukaan pada sebelah paginya disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penasihat DiRaja YTF. – SM

Artikel berkaitan > Wanita perlu manfaatkan kemajuan teknologi – Raja Puan Muda Perlis

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button