Nasional

Penerbangan Melaka-Pekanbaru perlu dibuka semula

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 9 Jun – Laluan udara Melaka-Pekanbaru menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) perlu dibuka semula bagi merancakkan sektor pelancongan kedua-dua negara kata Ketua Menteri, Datuk Seri SulaimanMd. Ali.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan Indonesia dapat memberi kebenaran membuka semula laluan
tersebut yang terhenti sejak penularan wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Menurutnya, Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru perlu dibuka segera kepada penerbangan
antarabangsa ke Melaka memandangkan terdapat permintaan tinggi bagi sektor pelancongan kesihatan.

“Saya difahamkan, Indonesia merupakan pasaran terbesar pelancong asing yang melawat Melaka di mana
sepanjang tahun 2019, seramai 552,813 orang pelancong Indonesia telah mengunjungi Melaka.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 100,234 daripada 136,361 orang keseluruhan pelancong kesihatan asing
mendapatkan rawatan di Melaka sepanjang tahun 2019 khususnya pelancong kesihatan Indonesia.

“Ini merupakan satu potensi besar di mana Indonesia merupakan pasaran pelancong kesihatan yang paling
menonjol, di mana mereka mendapatkan rawatan di empat buah hospital pakar di Melaka iaitu Putra Specialist
Hospital, Mahkota Medical Centre, Hospital Pantai dan Oriental Melaka Straits Hospital,” ujarnya dalam
satu kenyataan hari ini.

Beliau berucap ketika merasmikan Festival Semarak Pelancongan Melaka dan Kempen Promosi `Melaka For ASEAN’ di Atrium Kampar, SKA Mall Pekanbaru, Indonesia, hari ini.

Yang turut hadir, Gabenor Riau, Dr H Syamsuar; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim
Durum serta EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sulaiman mengetuai rombongan kerajaan negeri pada Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai dan
Pekanbaru, Indonesia.

Sebelum ini, penerbangan menerusi LTAM ke Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru membabitkan
dua kali seminggu menerusi pesawat Malindo Air (kini dikenali sebagai Batik Air) sebelum dihentikan akibat
penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu Sulaiman berkata, pelancongan kesihatan penting buat kedua-dua negara kerana Melaka
menawarkan kos rawatan yang jauh lebih rendah berbanding di Singapura.

Justeru beliau berharap kerjasama erat antara Melaka dan Riau dapat terus diperkukuhkan dalam usaha
merancakkan pelancongan di antara kedua-dua negara.

Katanya, pembukaan terminal feri Melaka-Dumai adalah satu langkah permulaan yang baik bagi merancakkan
semula industri pelancongan itu.

“Kempen Promosi `Melaka For ASEAN’ itu, antara lain diadakan untuk menarik pelancong Indonesia khususnya
di Riau untuk melancong serta menerokai Melaka dengan harga yang lebih murah dan berbaloi,” ujarnya.

Selain daripada pakej pelancongan kesihatan katanya, kempen tersebut terdapat 42 pakej pelancongan
keluarga (wisata keluarga) yang boleh didapati dengan harga serendah 200,000 rupiah seorang sehari untuk
melancong atau berlibur di Melaka.

 

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button