JenayahNasionalNegeri

Pencuri rembat motosikal ada kunci masa pecah masuk premis

TINGGALKAN kunci pada motosikal telah membawa padah kepada seorang pemilik premis apabila ia telah menjadi “habuan” pencuri.

Peniaga motosikal ini menyedari premisnya yang terletak di Pengkalan Asam, Kangar ini telah dipecah masuk sebaik sampai pada kira-kira pukul 8.30 pagi pada 22 September lalu.

Yusharifuddin Mohd Yusop

Ketua Polis Daerah Kangar, Assisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop memberitahu, peniaga menyedari premis perniagaannya dipecah masuk setelah mendapati kunci solex pada grill telah pecah dan berada di lantai.

“Sebaik masuk ke premis, peniaga berkenaan mendapati sebuah motosikal Honda RS warna hitam dengan nombor plat BGB 4089 telah hilang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Beliau berkata, peniaga berkenaan telah mengalami kerugian sebanyak RM4,000 dengan kehilangan sebuah motosikal terpakai ini.

Yusharifuddin berkata, kamera litar tertutup (CCTV) premis menjual motosikal yang baharu beroperasi empat bulan lalu itu juga mengalami kerosakan.

Selain itu, katanya, fius letrik utama premis juga telah diputuskan oleh suspek.

Beliau berkata, kini pihak polis sedang memburu suspek bagi menyelesaikan kes ini.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan Seksyen 379A pula berkaitan curi motosikal.

Yusharifuddin berkata, setakat ini cuma satu kes sahaja pecah premis yang berlaku di Pengkalan Asam bagi daerah Kangar dalam tempoh tiga bulan ini.

Beliau juga mengingatkan pemilik premis supaya memastikan CCTV yang dipasang berfungsi dan bukannya sekadar “dummy”.

Katanya, ini penting bagi membantu siasatan jika berlaku sebarang kes jenayah.

Selain itu, katanya, jangan sesekali memudahkan pencuri seperti apa yang berlaku dalam kes ini di mana berkemungkinan asalnya pecah masuk premis hendak mencuri wang tetapi telah mengambil motosikal sebab telah sedia ada kunci.

Katanya, sebaiknya setiap premis atau rumah pastikan memasang lampu sama ada di dalam atau luar rumah kerana keadaan gelap akan memudahkan pergerakan pencuri. – SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button