NasionalPolitikPRK

Krisis keyakinan bantu BN menang besar

KEPUTUSAN telah dibuat. Kerusi Parlimen Tanjung Piai secara rasminya telah diserahkan kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Bersatu perlu menerima hakikat – mereka hanya dibenarkan menduduki kerusi itu dalam tempoh yang sangat singkat iaitu kira-kira 18 bulan.

Penolakan sokongan itu bermakna PH semakin gagal meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu untuk terus menjadi kerajaan yang diharapkan.

Hubungan tidak mesra antara parti-parti yang bernaung dalam pakatan itu juga dilihat menyumbang kepada tahap keyakinan rakyat.

Paling ketara, krisis kepemimpinan yang sedang berlaku dalam PKR selain sifat cauvinis yang terus ditunjukkan sebuah lagi parti sekutu – DAP.

Dan sudah tentu faktor gagal menunaikan janji yang menjadi senjata kempen BN, berjaya menguatkan keraguan ketara para pengundi.

Namun, di sebalik realiti ini, ada juga yang menimbulkan persoalan tentang tahap kejujuran DAP dalam membantu memastikan kemenangan PH yang meletakkan calon Bersatu diketuai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini berikutan kebelakangan ini terlalu jelas menampakkan penolakkan mereka terhadap kepimpinanan Dr. Mahathir yang dilihat tidak berpihak atau menyukarkan ‘pergerakan’ mereka.

Keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya menyaksikan Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau meninggalkan jauh Karmaine Sardini (Pakatan Harapan), Datuk Dr. Ir. Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan),  serta dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Pemilihan ini pastinya atas dasar penduduk yang terletak di hujung benua ini yakin bahawa Jeck Seng mampu melaksanakan tugas diamanahkan.

Pengalaman sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut sebelum ini memberi kelebihan kepadanya untuk lebih memahami situasi.

Tentunya juga pengundi akan menuntut janji-janji yang telah ditaburkan sepanjang tempoh 14 hari kempen berlangsung bermula 2 November lalu.

Kemenangan dengan majoriti selesa ini secara tidak langsung memberi harapan kepada BN untuk kembali menerajui negara pada PRU Ke-15.

Ini juga memberi ‘nyawa’ kepada MCA apabila berjaya menambah satu lagi kerusi Parlimen selepas Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengekalkan kedudukan di Ayer Hitam.

Paling penting bagi BN, eksperimen mereka dalam menjayakan Muafakat Nasional menerusi kerjasama Pas, membuahkan hasil yang baik.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan penyandangnya,  Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Jeck Seng yang merupakan Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai, adalah penyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas mengejut dengan majoriti tipis 524 undi kepada Allahyarham Dr. Md. Farid pada PRU Ke-14.

PRK Tanjung Piai adalah yang kesembilan diadakan selepas PRU Ke-14 pada Mei tahun lalu.



(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button