Politik

Bumbung rumah Anwar bocor, ibaratkan mengurus negara

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi peristiwa rumah yang didiami bersama keluarga mengalami kebocoran yang agak teruk bulan lalu.

Dalam video berdurasi selama sembilan saat yang dikongsi di Twitternya kelihatan air masuk dengan lebat dari arah bumbung.

Dalam ciapannya, Anwar sempat menyampaikan nasihat bahawa mengurus rumah samalah seperti menguruskan negara.

“Mengurus rumah samalah saperti mengurus negara. Kebocoran dan ketirisan dana awam wajib di tangani. Lebih parah manakala berlaku gelagat tebuk atap, negara akan alami kerosakan,” kata Anwar.

Kebocoran atap di bahagian ruang tamu itu menyebabkan karpet yang dibentangkan dilantai terpaksa diangkat untuk diletakkan di tempat lain.

Beberapa buah baldi juga kelihatan diletakkan bagi menadah air yang mengalir masuk dengan lebat tersebut Menurut Anwar pembaikan sementara berjaya membendung kebocoran yang tidak disangka-sangka itu.

“Kini kami sibuk berkemas untuk berpindah kerana kerja pembaikan perlu di segerakan,” jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Justeru beliau sekeluarga akan berpindah sementara bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan dengan secepat mungkin.

Istilah kerajaan tebuk atap mula digunakan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Mac lalu.

“Ini adalah untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap, bukan oleh pintu belakang. Tebuk atap,” kata Hadi dalam perutusan yang disiarkan melalui facebook beliau.

Sehubungan itu, Hadi menyeru seluruh ahli Pas agar bersyukur kepada Allah Taala yang telah mengurniakan kepada mereka peluang mengambil alih kerajaan.

“Kerajaan yang ditinggalkan melalui pintu hadapan bukan pintu belakang kerana kerajaan (yang) telah dijatuhkan mestilah diambil alih dengan sebab-sebab yang berlaku dalam kerajaan itu sendiri,”kata Hadi.-SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button