Hiburan

Genap 25 tahun dalam industri, Siti Nurhaliza hadiahkan album baharu buat peminat

BERSEMPENA dengan ulang tahun ke 25 Datuk Seri Siti Nurhaliza di dalam industri seni, penyanyi itu mengeluarkan album lagu kanak-kanak berjudul Legasi hari ini.

Menurut Siti, penerbitan album kanak-kanak ini merupakan usaha beliau bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

“Lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran apatah lagi anak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa,kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu . Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,” ujar penyanyi berusia 42 tahun ini.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan berharap agar anakanda Siti Aafiyah mengenal lagu kanak-kanak zaman beliau dahulu.

Dalam pada itu, Siti berharap yang album kali ini tidak akan disamakan dngan album komersil yang lain.

“Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai  dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.

Namun apabila mendengar album ini, Siti yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan yang tersendiri.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio,” katanya.

Album Legasi mengandungi 7 buah lagu dan mempunyai 10 buah track termasuk interlud. Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda. Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini.

Lain-lain lagu adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.

Bermula 1 April, para pencinta muzik dan peminat boleh mendapatkan album penuh di seluruh platform digital dan pihak SNP memberikan kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengedar.

Manakala album fizikal atau CD pula boleh dilanggan di platform snp.onpay.my atau menerusi Affiliate SNP yang sah. -SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button