NasionalNegeri

Internet, media sosial mempunyai pengaruh besar – Raja Muda Perlis

INTERNET dan platform media sosial mempunyai kuasa atau pengaruh yang sangat besar pada masa kini. Atas dasar itu, ia boleh digunakan untuk tujuan membina dan juga merosakkan.

Malangnya, platform ini ada ketikanya boleh menjadi tempat pembiakan untuk penyebaran ideologi ekstremis yang mengancam nilai dan prinsip budaya kita.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen disambut penduduk di Koh Libong, Trang, Thailand.

“Sebaliknya, kita harus sama-sama membangunkan dan mempromosikan naratif balas positif yang meraikan kepelbagaian budaya, toleransi dan perpaduan sesama kita tidak kiralah di mana sahaja kita berada,” titah Raja Muda Perlis.

Baginda bertitah demikian di masjid Koh Libong, Trang sempena Progam Ziarah Mahabbah Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Di Pertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand dari 6 hingga 8 Oktober.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan sumbangan untuk aktiviti masjid di Koh Libong, Trang, Thailand.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, Pengasas merangkap Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah dan Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Amir Md. Noor.

Jelas Baginda, pada masa yang sama kita juga harus menggalakkan individu atau NGO untuk mempromosikan nilai-nilai positif yang sesuai dengan budaya dan tradisi kita.

Ini boleh dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif yang mampu untuk memupuk perpaduan, dialog antara agama, pertukaran budaya serta pembangunan komuniti dengan menyokong organisasi yang sejajar dengan nilai teras kita.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan titah pada Program Mawaddah MAIPs di Masjid Koh Libong, Trang, Thailand.

Pada majlis berkenaan, Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan bernilai RM3,000 untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan masjid.

Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada 30 anak yatim. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button