Berita

Raja Muda Perlis berkenan rasmi Wisma Bentara Rejimen 504 Askar Wataniah

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan ‘Wisma Bintara’ Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri Perlis pada malam semalam.

Majlis tersebut disempurnakan baginda sempena Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) rejimen berkenaan.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda selaku Komander disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Pegawai Waran 1 Muhammad Aris Abdullah.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Mohamad Zaidi memaklumkan bahawa pada tahun 2022 ini, rejimen berkenaan telah bersiap sedia bagi menghadapi apa juga pengarahan pihak atasan terutamanya dari aspek aturgerak anggota sukarela bagi membantu operasi teras, operasi murni dan juga meneruskan kesinambungan operasi penawar.

Menurut beliau, Rejimen 504 Askar Wataniah juga berada dalam lingkup melatih anggota sukarela dalam latihan tempatan, latihan berterusan, latihan kem tahunan dan juga latihan afilasi dengan pasukan setempat. Manakala dalam aspek pentadbiran, rejimen itu turut meneruskan aktiviti rutin dan sedang membuat persiapan bagi menjadi tuanrumah Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri ke-33 yang bakal mengumpulkan semua Komander dari seluruh negara dalam membincangkan halatuju Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia pada bulan Oktober 2022 nanti. Pihak rejimen ini juga dalam mengemaskini segala peralatan dan perolehan aset baru yang dijangkakan diperolehi pada tahun ini. Semua indikator ini adalah bagi menyatakan bahawa Rejimen yang berpegangkan slogan ‘Latih Untuk Perang’ ini sentiasa bersiap siaga.

(Visited 602 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button