KesihatanNasionalpilihan

PERKESO Run & Ride 2023 berjaya tarik hampir 3 kali ganda penyertaan

LONJAKKAN penyertaan PERKESO Run & Ride 2023 kepada hampir tiga kali ganda adalah petunjuk positif ke arah tekad masyarakat beralih ke gaya hidup sihat, selari matlamat kerajaan menangani risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata situasi Malaysia yang kini menuju status negara menua menjelang 2050 memerlukan intervensi awal, termasuk ‘pelaburan kesihatan’.

Katanya, percaturan sedemikian wajar diberi penekanan segera memandangkan perangkaan semasa mengenai tempias negatif daripada NCD, sejak dua dekad terakhir ini amat menggusarkan.

“Analisis Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0 yang dilaksanakan PERKESO tahun ini mendapati 60.3 peratus daripada 70,000 orang pencarum yang menjalani saringan kesihatan sehingga Oktober lalu mengalami masalah obesiti (kegemukan), selain 18.9 peratus menghidap kencing manis, 27.3 peratus mempunyai darah tinggi dan 61.2 peratus berdepan masalah kolesterol tinggi.

“Perbandingan terhadap statistik PERKESO bagi 2021 dan 2022 pula mendedahkan terdapat peningkatan jumlah pencarum yang mengalami hilang upaya atau meninggal dunia disebabkan NCD sebanyak 37 peratus.

“Mengikut pengiraan secara purata, 46 kes NCD dilaporkan kepada PERKESO setiap hari pada 2021, tetapi ia melonjak kepada 63 kes NCD sehari pada 2022.

“Justeru, ini adalah ‘wake-up call ’yang tidak wajar dipandang remeh kerana jika nasi sudah menjadi bubur, pelbagai perkara lain akan turut terkesan, termasuk status pekerjaan yang akhirnya menjejaskan aspek pendapatan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena PERKESO Run & Ride 2023, di Dataran Wawasan, di sini, hari ini. Program kecergasan berskala besar, dengan jumlah penyertaan lebih 8,000 orang anjuran PERKESO ini memasuki edisi ketujuh, sejak diadakan pada 2015.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Amran Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM, Datuk Norison Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Subahan berkata ‘pelaburan kesihatan’ yang sebenarnya tidak memerlukan modal besar mampu memberi laba keuntungan merangkumi pelbagai aspek seperti produktiviti pekerja dan perbelanjaan perubatan, selain mengoptimumkan pengurusan fiskal negara.

“Aspek fiskal negara bakal berdepan cabaran getir kerana kajian bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kos penjagaan kesihatan untuk pesakit NCD dan kehilangan produktiviti diunjur kira-kira RM22.5 bilion setahun,” katanya. – SM

Artikel berkaitan > Lebih RM200 juta bakal disalur ke PERKESO untuk laksana 6 inisiatif

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button