Berita

KPLB adakan Mini Karnival Usahawan desa (KUD) bantu usahawan luar bandar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) yang pertama bagi tahun 2022 pada 3 hingga 5 Mac 2022 bertempat di Stadium Mini Pontian, Johor.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, objektif pelaksanaan program ini iaitu menjadi platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

”Menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk/ perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli dan meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.

“Selain itu, pelaksanaan program ini turut membuka ruang kepada usahawan luar bandar untuk berinteraksi, mendapatkan maklumat dan kemudahan daripada Kementerian dan agensi bagi meningkatkan produktiviti serta jualan produk,” katanya semasa majlis perasmian Muqassah kepada peminjam Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dari daerah Pontian, Johor hari ini.

Jelasnya, program ini mendapat sokongan daripada Majlis Daerah Pontian (MDP) dalam penyediaan tapak Program Mini KUD @ Pontian ini dan juga hebahan di laman-laman media sosial MDP.

Mahdzir berkata, program ini turut menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari Kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar.

“Selain itu penglibatan 6 agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) selain penglibatan dari bahagian-bahagian di bawah KPLB.

“Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan Kementerian, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan,” katanya.

Selain itu Mahdzir berkata, program ini turut melibatkan pameran pendidikan daripada institusi-institusi pendidikan khususnya di bawah MARA.

“Program Mini KUD ini diadakan secara fizikal di daerah Pontian, Johor bagi memberi peluang kepada penyertaan usahawan yang lebih ramai di kawasan tersebut dan kawasan sekitar,” katanya.

Bagi memeriahkan suasana Mini KUD @ Pontian, beberapa aktiviti tarikan pengunjung akan dilaksanakan antaranya adalah seperti ceramah agama oleh Da’i Azam Al-Kankari, acara kayuhan berbasikal. Senamrobik dan banyak lagi.

Program ini dijadualkan untuk bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam dan dijangka akan menerima kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari.

Perasmian program ini dijadualkan pada 3 Mac 2022 oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

(Visited 555 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button