Nasional

Mohd. Ali minta Alumni 4B Malaysia bantu Perdana Menteri

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 25 Jun – Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam meminta ahli Pertubuhan Bekas Ahli
4B Malaysia (Alumni 4B) dapat membantu meningkatkan lagi prestasi negara yang diterajui Perdana Menteri,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam semua bidang.

Berucap menghadiri Majlis Makan Malam Perdana Alumni 4B Malaysia malam tadi beliau berkata, pengalaman
yang dimiliki oleh mereka juga amat diperlukan dengan kepimpinan negara ketika ini menghadapi masa depan
yang semakin mencabar.

Mohd. Ali yang mencetuskan idea penubuhan Alumni 4B pada 2007 menegaskan, pengalaman sewaktu menjadi
pemimpin dalam Gerakan Belia 4B amat wajar digunakan ketika negara memerlukan sokongan daripada semua
pihak termasuk daripada pertubuhan itu.

“Pengalaman yang tuan-tuan miliki ketika memimpin Gerakan Belia 4B di masa lalu dan menjadi pemimpin
Alumni di masa kini sewajarnya mencurahkan pengalaman yang sedia ada untuk meningkatkan lagi prestasi
negara kita.

“Apa yang paling penting, adalah untuk memimpin dan membimbing golongan belia dalam Gerakan Belia 4B untuk
memperkukuhkan perjuangan mereka seperti mana yang pernah dilalui mereka sebelum ini,” ujarnya.

Seorang perwakilan sempat berswafoto dengan Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Beliau turut merasmikan merasmikan Perhimpunan Agung Tahun Alumni 4B 2022 yang dihadiri hampir 1,000
perwakilan dari seluruh negara bersidang sehingga Ahad ini.

Hadir sama Toh Puan Asmah Abd Rahman, Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir dan
Pengerusi Alumni 4B Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Mohd. Ali yang dilantik sebagai Presiden pertama pertubuhan itu pada 24 Disember 2010 mengundurkan diri
selepas sembilan tahun memimpin selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 5 Jun tahun
2020.

Mengulas lanjut beliau turut menyeru semua ahli pertubuhan itu untuk terus menggiatkan usaha menambah
keahlian daripada 40,000 kepada 100,000.

Menurutnya, beliau tidak nampak sebarang kesukaran untuk menambah keahlian Alumni 4B serta membantu
Gerakan Belia 4B.

“Saya sangat berharap keahlian dapat ditambah dan aktiviti perlu dipergiatkan di samping membantu ahli-
ahli yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Sementara itu Naib Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Hasan Rahman berkata, pertubuhan itu sentiasa
menyokong penuh pimpinan Perdana Menteri dan sedia memberikan idea bagi membantu kerajaan dalam menangani
pelbagai isu semasa ketika ini.

Menurutnya, dalam kalangan ahli pertubuhan itu juga terdiri daripada bekas-bekas Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN), tokoh-tokoh profesional, Ahli Parlimen dan sebagainya sedia menabur bakti jika diperlukan.

“Alumni 4B Malaysia tetap menyokong penuh Perdana Menteri. Kita sedia bertempur jika ada pihak cuba
menggugat kerajaan sedia ada,” ujarnya.

 

(Visited 347 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button