
Tabung Ibnu Sabil MAIPs-Koreksional dilancar
KANGAR 4 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melancarkan Tabung Ibnu Sabil MAIPs – Koreksional, yang merupakan satu inisiatif strategik baharu untuk membantu golongan yang telah melepasi tempoh hukuman dan menjalani proses pemulihan agar dapat kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat secara bermaruah.
Simbolik pelancaran disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Mohd Sabri Md Arshad hadir menerima sumbangan tersebut, mewakili institusi yang terlibat secara langsung dalam inisiatif kebajikan dan pemulihan ini.
Majlis yang diadakan di Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang itu menyaksikan penyerahan sumbangan kepada dua institusi koreksional, iaitu Pusat Koreksional Perlis dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkata, Tabung Ibnu Sabil MAIPs – Koreksional merupakan salah satu mekanisme pantas dan berkesan dalam menyantuni mereka yang telah menjalani proses koreksi dan kini sedang berusaha membina kehidupan baharu.
“Tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan. Semua wajar diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak menyisihkan mereka yang telah menjalani proses pemulihan.
“Tabung ini menjadi platform penting untuk memastikan golongan ini tidak terlepas daripada ekosistem kebajikan MAIPs. Kita mahu mereka kembali diterima dan dihargai sebagai sebahagian daripada masyarakat penyayang,” tambah beliau.
Selain itu, di program yang sama Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan pelancaran serta menyampaikan sumbangan kepada institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran di negeri ini.
Antara institusi yang menerima sumbangan ialah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM), Universiti Muhammadiah Malaysia (UMAM), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perlis (IPGM), Kolej Matrikulasi Perlis (KMP), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Kemahiran MARA Beseri (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis (IKBN), dan Institut Latihan Perindustrian Kangar (ILP).
FOTO (IHSAN MAIPs)