Ekonomipilihan

Kerajaan komited selesaikan masalah pekerja asing, birokasi & sekuriti makanan

KERAJAAN mendengar keluhan dan pandangan dari pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing dengan mengambil beberapa pendekatan.

“Pertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.

“Kedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

“Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri berkata selepas membincangkan tiga perkara utama iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

Dalam masa sama, mesyuarat mengambil maklum akan prestasi program MyMudah yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

“Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.

“Sebanyak 30 peratus isu-isu yang diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan.

“Sehubungan itu, Kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga,” katanya.

Justeru, mesyuarat bersetuju supaya MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.

Tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambah baik.

Mengulas lanjut tentang sekuriti makanan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui Kerajaan dengan segera.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh,” katanya. – SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button