
Sze Fei-Izzuddin Terus Gah di Terbuka Singapura, Malaysia Sah Miliki Wakil ke Suku Akhir
Gandingan beregu lelaki No.1 dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani membuka kempen Terbuka Singapura dengan bergaya apabila mudah menundukkan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-13, 21-11 dalam pusingan pertama di Stadium Tertutup Singapura hari ini.
Kemenangan itu bukan satu kejutan besar, memandangkan Sze Fei-Izzuddin sudah mencatat lima kemenangan daripada enam pertemuan terdahulu menentang pasangan tersebut. Aksi mantap mereka juga membuktikan persiapan rapi yang dilakukan menjelang kejohanan ini membuahkan hasil.
Menurut Sze Fei, kejayaan mereka adalah hasil strategi yang menjadi dan keyakinan penuh terhadap proses latihan yang konsisten. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan dan para penaja atas sokongan berterusan yang melonjakkan mereka ke ranking tertinggi dunia.
Di pusingan kedua, Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King yang mara selepas menewaskan beregu Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi 21-13, 21-18. Pertemuan sesama wakil Malaysia ini memastikan sekurang-kurangnya satu slot milik negara ke pusingan suku akhir.
Dalam aksi beregu lelaki lain, juara Asia Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-19, 24-22 untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, juara Malaysia Masters minggu lalu, Man We Chong-Tee Kai Wun meneruskan prestasi cemerlang mereka dengan kemenangan straight set ke atas Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan, 21-18, 21-19.
Sumber : Refleks!