
‘Symphony of Ungu’ Julai Ini: Konsert Megah Rai Tiga Dekad Perjalanan Seni
TIDAK sekadar destinasi persembahan, Malaysia sudah menjadi lokasi penuh sentimental buat kumpulan rock popular Indonesia, Ungu. Setiap kali menjejakkan kaki di sini, sambutan luar biasa peminat tempatan menjadikan mereka seolah-olah ‘pulang ke pangkuan keluarga sendiri’.
Menurut vokalis Ungu, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Said, pengalaman menjayakan konsert di Malaysia sentiasa menghadirkan rasa dihargai dan menyentuh jiwa.

“Malaysia sudah kami anggap sebagai kampung halaman kedua. Hampir setiap konsert kami di sini sentiasa memberikan kesan luar biasa.
“Sambutan penonton sangat menggalakkan, penganjurannya juga baik dan kami sebagai penghibur turut berpuas hati,” katanya ketika sesi temu bual secara maya bersempena Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu.
Ungu yang turut dianggotai Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram) bakal menggegarkan pentas Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai ini bagi meraikan ulang tahun ke-29 penubuhan kumpulan tersebut.
Dalam masa sama, Pasha menyatakan pentas konsert di Malaysia adalah momen untuk melepaskan rindu, selain menjadi ruang istimewa untuk kembali dekat dengan peminat setia sejak awal perjalanan seni mereka.
“Rasanya seperti balik rumah sendiri. Kami dapat berinteraksi secara dekat dengan peminat yang bersama kami sejak mula.
“Setiap persembahan Ungu sejak awal penubuhan memiliki kisah dan kenangan tersendiri. Tetapi, insya-Allah, konsert kali ini akan menjadi memori istimewa dalam perjalanan kami,” ujarnya.
Ditubuhkan pada tahun 1996, Ungu akan tampil berbeza menerusi konsert kali ini apabila mereka bakal diiringi pemuzik orkestra buat pertama kali – membuka lembaran baharu dalam perjalanan hampir tiga dekad.
Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu menjanjikan susunan lagu, pencahayaan serta konsep persembahan yang lebih megah dan menyentuh perasaan, membawa penonton menyusuri evolusi muzik Ungu dari awal sehingga kini.