BeritaPolitik

Syed Saddiq ada masa tiga hari minta maaf

KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diberi masa tiga hari untuk memohon maaf berhubung dakwaan Pemuda UMNO adalah dalang insiden gangguan dan kekecohan dalam satu majlis anjurannya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kegagalan Menteri Belia dan Sukan itu berbuat demikian dan menarik semula fitnah dilemparkan bermakna bahawa pergerakan itu akan meneruskan saman terhadapnya.

Kata beliau, Pemuda UMNO tidak dapat menerima dakwaan Syed Saddiq mengaitkan pergerakan itu dengan apa yang berlaku.

“Tunggulah notis tuntutan daripada peguam mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan diserahkan segera!

“Mengikut prosedur, peguam kami akan bagi kamu tempoh masa tiga hari untuk mohon maaf kepada ahli UMNO dan menarik balik fitnah jahat mengaitkan UMNO.

“Kegagalan berbuat demikian, kami akan teruskan tindakan menyaman kamu! Negara ini ada undang-undang bukan boleh main tuduh semberono sahaja!” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mengesyaki UMNO di sebalik insiden gangguan dan kekecohan ketika majlis ramah mesranya bersama ahli parti itu di sebuah restoran dekat Ulu Tiram, Johor.

Menerusi kenyataan dalam akaun Facebooknya, beliau mendakwa kumpulan kira-kira 200 individu sengaja datang untuk mengganggu programnya.

Program itu diadakan bagi memberi penjelasan  dan mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan Armada serta pimpinan negeri.

Kumpulan terbabit yang didakwa mengepung restoran itu dilaporkan turut mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Ahli Parlimen Muar itu keluar dari Johor.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button