Politik

Tiga Highland Tower tumbang sehari, Zahid sibuk nak tumbangkan kerajaan

AKU masuk jadi reporter Utusan Malaysia pada tahun 1993. Aku ditemuduga oleh Tan Sri Johan Jaafar (aku tak ingat ejaan betul nama beliau, dan beliau sangat sensitif jika tersilap mengeja namanya dan bapanya) ketika itu Ketua Pengarang Utusan Malaysia.

Antara soalan yang ditanya semasa sesi temuduga itu ialah awak kenal siapa ketua pengarang Utusan dan jawabnya aku tidak kenal.

Aku juga dikehendaki memberi pandangan berhubung imej Pak Lah yang ketika itu menteri luar dan Anwar Ibrahim selaku menteri kanan, kalau tidak silap.

Lojik akal bila aku jawab tidak kenal ketua pengarang, tentulah aku tidak akan diambil bekerja. Tetapi oleh kerana aku memberi gambaran yang begitu cantik tentang Anwar, aku pun dapat kerja dengan Utusan.

Mana tidaknya aku baharu tamat pengajian di universiti dan Anwar adalah idola aku, mestilah gambaran berbunga cantik aku berikan.

Apabila aku bertemu seorang bos Utusan dan bercerita tentang apa yang berlaku semasa temuduga itu, dengan yakin dia beritahu, aku akan dapat kerja sebab cerita aku mengenai Anwar sangat hebat.

Anwar seorang pemimpin ABIM memang banyak mempengaruhi pemikiran penuntut di universiti termasuklah aku.

Bagaimanapun apabila aku sudah bekerja sebagai wartawan, idola yang aku kagumi selama ini, tidak seperti yang dibayangkan dan rasa hormat itu semakin luntur dan dengan situasi politik semasa ia mencapai tahap defisit.

Aku menyertai Utusan pada bulan Februari dan tidak lama selepas itu kejadian bangunan Highland Tower tumbang berlaku pada bulan November.

Sebulan penuh aku bekerja membuat liputan tragedi itu. Keseluruhan jumlah mereka yang terbunuh ialah 48 orang.

Semasa kejadian itu, pasukan bantuan datang dari pelbagai negara termasuk Perancis dan Jepun bagi membantu mencari mangsa yang tertimbus.

Kini tragedi lebih dahsyat berlaku apabila seluruh dunia dilanda wabak Covid-19 dan negara kita sendiri tidak dapat mengelak daripadanya.

Sehari lebih 100 orang meninggal dunia akibat wabak ini, ibaratnyakira-kira tiga buah Highland Tower tumbang setiap hari.

Mengapa tiada pasukan bantuan dari Jepun, China, mahupun Perancis. Ini adalah kerana seluruh dunia sedang berjuang menentang wabak ini. Kita bernasib baik kerana mendapat bantuan vaksin.

Yang anehnya Anwar bersama anak didiknya Zahid Hamidi bukan mahu membantu kerajaan memerangi wabak ini, tetapi mereka sibuk untuk menumbangkan kerajaan hari ini.

Mengapa sekarang baharu mereka heboh mahu mengambil-alih kerajaan ini atas alasan kegagalan menangani wabak yang menjadi masalah dunia ini?

Jawapannya mudah sahaja, kerana kerajaan telah berjaya menemui cahaya di hujung terowong melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan dapat membimbing kita keluar dari krisis pandemik ini.

Matematiknya mudah sahaja, tiga bulan atau lebih cepat dua bulan lagi negara kita akan mencapai kekebalan komuniti apabila 80 peratus populasi dewasa telah disuntik dengan vaksin.

Sekarang pun telah dapat dilihat apabila kerajaan memberi tumpuan suntikan vaksin di Sarawak kerana bimbang terpaksa melaksanakan pilihan raya negeri, negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan paling rendah.

Lembah Klang yang sangat agresif program suntikan vaksin juga jatuh nombor dua kebolehjangkitan virus berkenaan.

Ini bermakna jika vaksinasi ini dipertingkatkan lagi mencapai 200,000 orang sehari, hanya dua bulan sahaja kita akan capai kekebalan kelompok.

Bermakna jumlah kes masih tinggi, tetapi mereka yang bergejala, jumlah yang ditahan di pusat kuarantin, kemasukan ke wad dan ICU akan berkurangan dan kadar kematian juga akan berkurangan.

Apabila itu semua telah dicapai negara kita akan bergerak ke Fasa 2 PPN dan kita sudah boleh merentas negeri dan boleh makan di kedai serta restoran, mahupun melancong. Ini akan menggerakkan kembali ekonomi negara.

Rasa positif ini akan menyebabkan rakyat mulai mempercayai kemampuan kerajaan hari ini mampu membawa negara ini keluar dari kemelut pandemik.

Oleh itu Anwar dan anak didiknya yang sangat terdesak kerana tidak dapat tidur lena dibuai mimpi ngeri jeriji besi, akan mencari apa juga cara dan kaedah bagi menjatuhkan kerajaan hari ini.

Jika mereka berjaya mengambil-alih kerajaan hari ini, mereka akan dapat membebaskan diri daripada tuduhan mahkamah yang berserabut di dalam sanubari mereka.

Tempoh tiga bulan apabila kekebalan kelompok dicapai mereka dapat mendakwa telah berjaya menangani krisis pandemik dalam tempoh tiga bulan sahaja mengambil alih kerajaan atau istilah potong di selekoh terakhir (tapau last lap).

Dan apabila pilihan raya diadakan rakyat akan memilih kerajaan jajaran baharu UMNO, PKR dan DAP yang diberi nama Jajaran Harapan (JH).

Bagi aku perkara yang wajar dilakukan oleh kerajaan hari ini walaupun jika Muhyiddin menang undi percaya ialah membubarkan parlimen.

Tidak guna menang undi percaya kerana puak JH ini telah merancang plan A hingga Z untuk mengganggu kerajaan hari ini.

Jadi apabila parlimen dibubarkan kerajaan ‘caretaker’ hanya meneruskan segala polisi baik yang telah digarap dalam memerangi wabak ini.

Apabila pilihan raya diadakan keadaan penularan wabak semakin menurun dan kekebalan kelompok telah dicapai, secara semulajadi rakyat akan memilih Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi kerajaan sekali lagi.

Rakyat sebenarnya tidak marah kepada kerajaan hari ini, kerana mereka sedar realiti yang berlaku di seluruh dunia, cuma mereka dikelirukan dengan maklumat yang berselirat digempur oleh kumpulan JH.

Oleh itu biar rakyat yang mengajar gerombolan JH ini dan memilih sekali lagi Muhyiddin sebagai perdana menteri yang tidak banyak bercakap, tetapi sentiasa bertungkus-lumus berusaha menyelamatkan negara ini dan prihatin menyantuni kehidupan rakyat.

 

 

 

(Visited 772 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button