Hiburan

Syarikat produksi Mentega Terbang langgar Akta 244 Finas, SENIMAN buat laporan polis

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) membuat satu laporan polis berhubung filem indie, Mentega Terbang yang didakwa menghina agama Islam serta kandungan berbaur hasutan secara terbuka dalam beberapa babak filem berkenaan.

Setiausaha Agung persatuan itu, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata SENIMAN beranggapan bahawa filem itu tidak wajar ditayangkan di dalam mana-mana platform di negara ini dan harus diambil tindakan.

“Seniman menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap penerbit, pengarah dan penulis skrip filem berkenaan di bawah Akta Hasutan 1948 dan memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melakukan siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seniman memandang serius isu berkaitan babak filem itu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dengan terkait isu agama Islam yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan Bahagian 1 Fasal 3,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi Bernama, berkata kes itu diserahkan kepada Polis Daerah Ampang Jaya untuk tindakan.

Filem Mentega Terbang yang disiarkan secara percuma menerusi platform penstriman digital, menerima bantahan daripada umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah.

Dalam pada itu, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memberi teguran kepada penerbit filem tempatan agar lebih sensitif terhadap pembangunan kandungan filem yang menyentuh isu keagamaan, bangsa dan budaya di negara ini walaupun secara halus seperti yang didakwa cuba diketengahkan melalui filem Mentega Terbang.

Presiden PFM, Pansha berkata, syarikat produksi filem itu, Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainmet telah melakukan kesalahan mengikut Akta 244 Finas kerana tidak memohon Surat Perakuan Penggambaran serta tiada lesen pengeluaran filem daripada Finas untuk menghasilkan naskhah tempatan.

“Walaupun filem Mentega Terbang disiarkan melalui platform penstriman digital dan kandungan filem itu di luar kawalan Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau izin tayang daripada Finas, namun siaran di Internet masih boleh dikawal oleh MCMC dengan pelbagai cara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dasar perfileman negara yang berpandukan pada Akta 244 FINAS dan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) seharusnya dihormati.

“Pemantauan kandungan filem telah ditetapkan melalui agensi yang telah dipertanggungjawabkan dan bukan dari pihak lain seperti yang telah berlaku ke atas filem ‘Pulau’. PFM mohon tindakan segera dari pihak yang berkuasa,” katanya. – BERNAMA

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button