
Syarikat Pembekal Pakaian Diperintah Bayar RM1.7 Juta Kepada Siti Khadijah
SEBUAH syarikat pembuat dan pembekal pakaian telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.7 juta kepada pengeluar telekung berjenama terkenal, Siti Khadijah, selepas didapati meniru reka bentuk salah satu produk keluarannya.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid, dalam satu prosiding yang dijalankan secara atas talian pada 6 Mac lalu.
Sebelum itu, pada 8 Februari 2024, mahkamah memutuskan bahawa telekung jenama Suqainah milik Airaz Technologies Sdn. Bhd. telah meniru reka bentuk Telekung Harmoni milik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd., yang dinamakan sebagai plaintif dalam kes tersebut.
Menurut Siti Khadijah Apparel dan pengarahnya, Padzilah Enda Sulaiman, terdapat persamaan ketara pada reka bentuk dan corak bahagian kepala serta dagu pada Telekung Suqainah yang menyerupai rekaan Telekung Harmoni milik syarikat mereka.
Peguam Ahmad Hafiz Zubir yang mewakili Siti Khadijah mengesahkan keputusan itu kepada media, semalam.
“Mahkamah memerintahkan Airaz Technologies membayar sebanyak RM1,216,015.20, iaitu keuntungan yang diperoleh hasil penjualan telekung di bawah sub-jenama Suqainah Lite dan Suqainah Luxe,” katanya.
Tambah beliau lagi, mahkamah turut mengarahkan pembayaran ganti rugi pampasan dan teladan berjumlah RM500,000 serta kos prosiding sebanyak RM5,000 kepada pihak Siti Khadijah Apparel.
Kes ini bermula sejak pertengahan tahun 2022 apabila Siti Khadijah mengemukakan surat tuntutan kepada Airaz atas dakwaan meniru reka bentuk dan menjual telekung yang menyerupai produk mereka.
Dalam penghakiman ringkas sebelum ini, Hakim Azlan Sulaiman menyatakan bahawa hasil penelitian terhadap kedua-dua rekaan mendapati elemen penting pada Telekung Harmoni turut hadir pada Telekung Suqainah.