Hiburan

Syamsul tak pernah cerita masalah rumah tangga dia – Mawi

SERING bekerjasama dalam lagu dan filem, ramai sebenarnya yang tahu hubungan rapat di antara Syamsul Yusof dan Mawi.

Disebabkan itu juga, ada yang beranggapan Mawi sebenarnya tahu dakwaan berhubung dengan kemelut rumah tangga yang dihadapi oleh rakannya itu bersama isteri, Puteri Sarah Liyana.

Namun, penyanyi lagu Sahabat Dalam Tubuh itu memberitahu yang dia sebenarnya tidak tahu menahu pun apakah punca kemelut rumah tangga pasangan Syamsul-Sarah.

“Saya memang tidak tahu apa-apa yang berlaku dan melibatkan rumah tangga Syamsul dan isterinya.

“Isu tersebut hanya diketahui selepas saya membaca kisah mereka yang mula dikeluarkan oleh pihak media,” kata Mawi ketika ditemui di sidang akhbar Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Program Nurkids & Turath, semalam.

Ditanya sama ada Syamsul pernah bercerita mengenai hal rumah tangganya kepada Mawi, Mawi berkata, mereka sedikit pun tidak pernah berborak mengenai hal-hal rumah tangga masing-masing.

Jelas Mawi lagi, mereka berdua hanya berborak lebih kepada hal-hal kerja yang melibatkan lagu dan filem sahaja.

“Memang saya rapat dengan dia tetapi tidaklah sampai ke tahap nak bercerita atau berkongsi tentang hal rumah tangga masing-masing.

“Itu yang bila saya dengar apa yang berlaku, saya sendiri pun terkejut. Saya harap cerita ini tidak berlaku dan kita doakan yang baik-baik sahaja,” jelas Mawi.

Sebelum ini, media melaporkan Puteri Sarah hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada Jumaat lalu sehingga menimbulkan spekulasi tentang rumah tangganya yang sedang berantakan.

Syamsul dan Puteri Sarah, kedua-duanya enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut ketika ditanya pihak media dan meminta semua pihak mendoakan yang terbaik buat mereka.

Pasangan itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah yang kini berusia setahun. – SM

(Visited 830 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button