Nasional

Soroton 2019: Tutupnya Utusan, lahirnya Suara Merdeka

TANGGAL 9/10/2019, kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad iaitu syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo telah mengeluarkan notis enam jam supaya semua kakitangannya mengosongkan pejabat.

Tindakan tidak berhati perut majikan diambil dengan tidak melunaskan dua bulan gaji dan tanpa sesen pun pampasan dibayar dengan alasan syarikat dengan sukarela digulung tikar sebelum diarahkan oleh mahkamah.

Alasan lagi, tindakan itu adalah yang terbaik berbanding jika arahan mahkamah berikutan hutang Utusan yang tertunggak semakin menggunung.

Maka berbondong-bondonglah kakitangan Utusan keluar dari bangunan masing di seluruh negara selepas 80 tahun syarikat berkenaan berbakti kepada negara dalam membina bangsa dan watan.

Utusan dikatakan direhatkan seketika dan akan dibuka semula pada tahun hadapan kemungkinan besar pada Februari, walaupun sehingga kini iaitu beberapa hari lagi melangkau ke tahun baharu di bawah pemerintahan kerajaan baharu, Malaysia baharu, masa hadapan kakitangan Utusan masih lagi kelam.

Ramai yang patah semangat, ada yang hampir mengambil nyawa sendiri dan ada ke tahap tergelincir aqidah akibat tidak dapat menerima berita yang tiba bagaikan halilintar itu.

Bagaimanapun pada 10/102019 kami segelintir wartawan mengambil inisiatif menubuhkan portal berita Suara Merdeka untuk dijadikan platform bagi memboleh rakan-rakan wartawan Utusan meneruskan karya mereka masing-masing.

Lantaran kerja yang dibuat secara sukarela, hanya segelintir yang berminat dan selebih mencebik mulut dan mencemuh usaha berkenaan.

Pada asalnya portal ini diwujudkan hanya untuk dijadikan alasan supaya bekas kakitangan Utusan untuk berkumpul dan bertanya khabar pada masa yang sama merawat luka di hati, rohani dan minda.

Selepas kira-kira dua bulan portal Suara Merdeka semakin mendapat perhatian kerana ia adalah hasil garapan para wartawan berpengalaman dan terlatih dengan etika kewartawan yang ketat dan bukan tulisan picisan.

Suara Merdeka dipilih bagi memperjuangkan kepentingan Islam, Melayu dan Perlembagaan yang ditinggalkan oleh Utusan, dan sehingga kini tidak berani disahut oleh mana-mana media arus perdana.

Selain memperjuangkan kebebasan media, Suara Merdeka mahu memerdekakan pemikiran orang Melayu yang masih lagi terbelenggu dengan fahaman yang menghalang mereka maju berbanding bangsa lain.

Orang Melayu juga belum merdeka dari segi ekonomi dan masih menjadi mangsa buli syarikat bangsa lain yang sudah kukuh dan menguasai pasaran serta industri.

Ketika dalam keadaan semakin terhimpit itu kuasa politik yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu, kini juga semakin terhakis bukan hanya kerana usaha desakan kaum lain, tetapi kerana Melayu sendiri terlampau liberal dan terbuka sehingga segala-galanya mahu dikongsi dan diberikan begitu sahaja termasuk hak istimewa orang Melayu, sedangkan bangsa lain masih lagi mengamalkan sikap cauvanis dan perkauman yang tebal.

Penyatuan Ummah iaitu diantara Pas dan UMNO dilihat memberi cahaya baharu kepada politik Melayu serta Islam.

Parti Pas sejak sekian lama kemas dan teratur dengan para pengikut yang taat serta akur dengan pemimpin.

Parti-parti Melayu di dalam kerajaan juga tidak habis bertelagah dan berebut kuasa, berbanding parti lain yang lebih berstruktur serta diuruskan dengan baik.

Suara Merdeka lantaran itu mengambil laluan garis tengah sederhana dalam kebanyakan isu, tetapi tidak akan bertolak ansur apabila berkait dengan kepentingan Islam, Melayu dan Perlembagaan termasuklah raja-raja Melayu.

Suara Merdeka sangat berterima kasih kepada pihak-pihak yang telah memberi kepercayaan kepada kumpulan kecil yang baru bertatih ini untuk meneruskan legasi perjuangan Islam, Melayu dan Perlembagaan.

Cuaca kelam industri media tidak sahaja mencengkam Utusan, tetapi juga Media Prima yang akhirnya mengikuti jejak langkah Utusan, tetapi lebih bermaruah apabila petugas diberhentikan diberi pampasan sewajarnya serta notis yang secukupnya.

Kami yang telah melalui situasi yang boleh dikatakan terburuk di dalam sejarah pembuangan pekerja selepas Penerbangan Malaysia, tumpang gembira melihat rakan-rakan di Media Prima tidak perlu melalui pengalaman buruk seperti di Utusan.

Tahun 2020 diharap menjadi tahun yang lebih baik kepada industri media, walaupun harapan itu terlalu optimis memandangkan keadaan ekonomi yang masih lembab serta suram.

Diharapkan syarikat baharu iaitu Media Mulia yang bakal mengambil alih teraju penerbitan produk Utusan menunaikan janji mereka untuk mengambil kembali sebahagian besar petugas Utusan yang kini terkontang-kanting mencari arah hidup.

 

 

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button