Ekonomi

Switzerland pelabur terbesar di Malaysia disembah maklum sempena lawatan Raja Muda

SWITZERLAND antara pelabur terbesar di Malaysia tahun 2021 selain menjadi pelabur ketiga terbesar dari Eropah.

Jumlah pelaburan masuk yang telah diluluskan dari Switzerland ke Malaysia berakhir tahun 2021 bernilai RM17.2 billion yang merangkumi sebanyak 231 projek.

Ia telah membuka sebanyak 24,000 peluang pekerjaan di dalam pelbagai bidang.

Antara syarikat multinasional dari Switzerland yang telah bertapak di Malaysia adalah Nestle, VAT Group, Haco, ABB Group, Escatec Group, RUAG International Holding AG, Roche Holding AG dan lain-lain.

Perdagangan Malaysia dan Switzerland pada tahun 2021 telah mencecah USD2.34 bilion, meningkat 11.3 peratus berbanding tahun 2020.


Daripada jumlah ini, eksport Malaysia adalah US 471.4 juta, turun sebanyak 26.4 peratus berikutan impak Covid-19 yang telah menjejaskan kapasiti pemain industri serta kekurangan bahan mentah kerana isu geopolitikal.

Syarikat di Malaysia pula telah mengimport daripada Switzerland dengan nilai import sebanyak USD1.86 bilion pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 27.9 peratus.

Walaupun Malaysia telah mengimport lebih banyak daripada mengeksport, momentum aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara dapat dikekalkan.

Kenyataan media oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini adalah dari sembah maklum Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Bern, Switzerland, Zuliera Zariz Azman Aziz kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten, Zurich, Switzerland, baru-baru ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir Konsul Kehormat Malaysia bagi kanton Zurich dan Aargau, Guna Mahalingam.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan tambahan MAIPs untuk Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di negara tersebut untuk diamanahkan melalui budibicara pihak pejabat Kedutaan.

Sumbangan terakhir daripada pihak MAIPs kepada pihak kedutaan tersebut untuk tujuan yang sama adalah pada tahun 2019, sempena keberangkatan Baginda pada ketika itu.

Menurut Zuliera, ‘Kedudukan Switzerland yang terletak di tengah-tengah benua Eropah dengan keadaan ekonomi serta politik yang amat stabil menjadikannya sebuah negara yang amat strategik untuk urusan perdagangan, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, dan lain-lain.

Industri pekerjaannya yang amat berdaya saing telah menarik lebih 1,400 rakyat Malaysia untuk tinggal bekerja di sini.

Pada masa yang sama, ramai tenaga pakar dari negara Switzerland juga sedang dan akan bekerja secara sepenuh atau separuh masa di Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang farmasi, kejuruteraan dan kewangan’.

Tambah beliau lagi, produk pengilangan kekal sebagai produk perdagangan utama di antara Malaysia dan Switzerland pada tahun 2021.

Antara produk utama ini adalah produk pengilangan seperti produk elektrikal dan elektronik, produk petroleum, bahan kimia dan produk kimia serta produk berasaskan kelapa sawit.

Raja Muda juga mempunyai jaringan luas di negara tersebut kerana pernah berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah berpejabat di Zurich dari 1998 hingga 2002 sebelum berangkat pulang untuk memegang amanah sebagai Pemangku Raja Perlis ketika Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dilantik Yang DiPertuan Agong Ke-12. – SM

(Visited 64 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button