MahkamahNasional

Susulan mansuh hukuman mati mandatori: Benarkan banduan akhir buat rayuan

SEMALAM Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati madotari dan hari ini, seorang peguam mencadangkan Putrajaya harus meminda undang-undang tertentu bagi membolehkan banduan akhir membuat rayuan.

Memetik laporan FMT hari ini, peguam berkenaan Kitson Foong berkata, pindaan ini termasuk Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Akta Mahkamah Kehakiman.

“Jika kerajaan benar-benar mahu memberikan semula kuasa kepada mahkamah untuk memutuskan hukuman mati yang dikenakan, semakan itu perlu didengar di Mahkamah Persekutuan di mana ia berakhir sebelum ini,” katanya.

Pada masa ini, kes yang membawa hukuman mati mandatori dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan atas rayuan.

Mereka yang gagal dalam rayuan terakhir di mahkamah tertinggi boleh mendapatkan bantuan terakhir di hadapan lembaga pengampunan.


Foong turut menolak cadangan agar tribunal ditubuhkan bagi mengkaji kes mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori.

“Tak masuk akal untuk mana-mana badan atau tribunal menyemak hukuman yang telah dijatuhkan pada masa lalu.

“Anda tidak boleh minta orang luar menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan semalam, kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan tertentu dan membenarkan budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman.

Kata Wan Junaidi, kes yang membawa hukuman mati mandatori tetapi masih belum dibicarakan di mahkamah akan ditangguhkan sehingga hukuman itu dimansuhkan.

Sementara itu, peguam Haijan Omar berkata, sebarang pindaan mestilah adil kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman.

“Pada masa ini moratorium hukuman mati masih berkuat kuasa. Apa gunanya meletakkan mereka (banduan hukuman mati) bawah moratorium jika tiada niat untuk mengguna pakai pindaan itu secara retrospektif?” soal beliau.

Seorang lagi peguam, Rafique Rashid Ali mempersoalkan kerajaan kerana tidak menetapkan tarikh akhir bilakah rang undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Bagi saya, ini hanyalah ‘kenyataan bersifat populis’ tanpa sebarang jangka masa dan pengesahan konkrit mengenai rancangan kerajaan.

“Keputusan Jemaah Menteri tiada kuasa undang-undang,” katanya. – SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button