Jenayah

Suspek conteng dinding istana, tumbuk polis maut kemalangan

Suspek yang menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit dan menumbuk seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar maut selepas terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani dalam usaha melarikan diri selepas diekori polis pada Khamis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan dipercayai terlibat di dalam kedua-dua kejadian ini.
“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan motosikal berwarna hitam. Ekoran dari kejadian tersebut, pasukan operasi telah memulakan operasi mengesan suspek.
“Seterusnya pada jam lebih kurang 5.00 petang, suspek tersebut dipercayai telah pergi ke IPD Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis yang sedang bertugas.
“Beliau turut membaling sebuah objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal warna hitam.
“Anggota polis tersebut telah mengalami kecederaan di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, usaha mengesan suspek diteruskan dan polis telah menjumpainya di kawasan Gurun, di Sungai Petani dan lelaki itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Pasukan polis terus mengekori suspek dan telah memberi amaran untuk berhenti namun dia tidak berhenti dan terus melarikan diri.
“Semasa dalam usaha melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek telah terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani dan telah mengalami kecederaan.
“Polis telah menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan ambulan. Apabila ambulan sampai, pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan suspek telah meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.
(Visited 262 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button