Berita

“Susah Cari di Sini, Senang Dapat di Sana” – Minyak Subsidi Malaysia Dijual Bebas di Golok

KETIKA rakyat tempatan bergelut mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi di pasar raya dan kedai runcit, minyak yang sepatutnya dinikmati golongan berpendapatan rendah di Malaysia didakwa terus ‘membanjiri’ pasaran sempadan Thailand.

Fenomena ini bukanlah baharu, namun apa yang mengejutkan, minyak masak dalam paket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram di Malaysia, kini didapati dijual secara terbuka di Pekan Golok, Narathiwat pada harga RM6 hingga RM7 sebungkus.

Lebih membimbangkan, tiada had pembelian ditetapkan di sana, berbeza dengan di Malaysia yang mengenakan had dua bungkus setiap pembeli. Ini menimbulkan persoalan besar: bagaimana minyak masak bersubsidi ini boleh terlepas ke pasaran luar dengan begitu mudah?

Seorang peniaga di Golok, Shakori, mengakui dia menerima bekalan sekitar 20 hingga 30 kotak minyak masak subsidi setiap minggu daripada pembekal tetap yang berpangkalan di Malaysia. Katanya, minyak masak dari Malaysia lebih murah dan berkualiti, menjadikan ia pilihan utama peniaga dan pengguna di kawasan sempadan.

“Bekalan memang mudah dapat. Ramai yang guna sebab kos murah, dan pelanggan pun suka makan makanan yang digoreng guna minyak Malaysia,” katanya.

Bukan hanya peniaga, malah pengusaha makanan di Golok turut menggunakan minyak bersubsidi dari Malaysia dalam operasi harian mereka. Ini jelas menunjukkan berlaku ketirisan besar terhadap subsidi yang sepatutnya hanya untuk kegunaan isi rumah B40 di Malaysia.

Menurut laporan, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.5 bilion setiap tahun bagi menampung subsidi minyak masak bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat terus menikmati keperluan asas pada harga mampu milik. Namun, situasi ini membuktikan berlaku salah guna yang jelas.

Tinjauan di beberapa pasar raya di Lembah Klang dan Kelantan mendapati bekalan minyak masak subsidi sangat terhad, bahkan ada peniaga yang menjualnya melebihi harga kawalan kerana permintaan yang tinggi.

Pihak berkuasa sebelum ini mendakwa telah menutup lebih 130 pangkalan haram di sempadan Rantau Panjang–Sungai Golok, namun kegiatan penyeludupan minyak masak ini dilihat terus berlaku secara terbuka.

Maka, persoalannya, di mana silapnya? Adakah penguatkuasaan masih longgar? Atau wujud jaringan sindiket yang gagal dibanteras?

Kerajaan digesa segera menyemak semula mekanisme pengagihan subsidi, termasuk meneliti semula saluran pembekalan dan memperketatkan kawalan sempadan. Tanpa tindakan tegas, subsidi yang sepatutnya meringankan beban rakyat akan terus dinikmati pihak yang tidak layak — malah di luar negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button