JenayahNasionalNegeri

Suri rumah rugi RM12,120 ditipu peminjam wang palsu

SUDAH jatuh, ditimpa tangga. Itulah nasib malang yang dialami oleh seorang suri rumah yang berusia 30 tahun. Setelah terdesak dengan masalah kewangan, disangka peminjam wang dapat membantu sebaliknya ditipu pula sebanyak RM12,120.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah setelah wanita berkenaan membuat laporan polis.

Beliau berkata, dalam laporan berkenaan bahawa pada 31 Julai lalu, mangsa telah melayari laman sesawang Google bagi membuat pinjaman wang di atas talian.

“Mangsa telah melihat satu iklan pinjaman wang iMoney yang diiklankan melalui link https://imoney.my/ms/pinjaman-peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Shokri berkata, mangsa telah mengisi maklumat peribadi di dalam link tersebut termasuk nombor telefon.

Katanya, pada 1 Ogos lalu pada pukul lebih kurang 3.15 petang, mangsa telah dihubungi melalui aplikasi whatsapp yang memperkenal diri sebagai ejen peminjam wang daripada syarikat iMoney.

“Mangsa kemudiannya telah diminta untuk menghantar gambar peribadi mangsa, gambar kad pengenalan dan penyata akaun bank,” katanya.

Katanya lagi, selepas menghantar maklumat yang diminta, ejen tersebut memberitahu mangsa bahawa pinjaman yang dimohon telah lulus tetapi perlu membuat beberapa bayaran lagi bagi melepaskan pinjaman tersebut.

Mohd. Shokri berkata, mangsa yang percaya dengan janji ejen itu telah membuat lima transaksi berjumlah RM12,120 ke dalam satu akaun bank yang diberikan bagi mendapatkan pinjaman tersebut.

“Selepas mangsa menyelesaikan bayaran tersebut, ejen masih lagi meminta bayaran bagi memperoleh pinjaman,” kata Mohd. Shokri.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang sudah kehabisan wang simpanan mulai sedar yang dia telah diperdaya oleh ejen sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Mohd. Shokri berkata, hasil semakan melalui “semakmule.rmp.gov.my” pihak polis telah mendapati terdapat satu laporan polis ke atas nombor akaun bank yang telah digunakan oleh sindiket ke atas mangsa lain sebelum ini.

“Modus operadi sindiket ini adalah mengiklankan pinjaman wang di dalam media sosial,” katanya.

Tambah Mohd Shokri, apabila ada mangsa yang berminat membuat pinjaman, sindiket ini akan memperdaya mangsa dengan meminta untuk membuat pelbagai bayaran dengan alasan untuk meluluskan pinjaman yang dibuat. – SM

(Visited 477 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button