
Suri Rumah Pun Ada Perlindungan! RM120 je setahun – Daftar SKSSR di CBP hari ini
CO-opbank Pertama (CBP) memperkukuh komitmen dalam membangunkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat apabila tampil sebagai rakan promosi rasmi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, kerjasama strategik ini mula dijalankan sejak Februari lalu dan memberi fokus kepada penyediaan akses perlindungan sosial yang lebih menyeluruh kepada golongan suri rumah – khususnya dalam kalangan pelanggan wanita CBP.
“Skim ini diwujudkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bagi melindungi suri rumah daripada risiko kecederaan, penyakit atau keilatan yang berlaku semasa mereka menguruskan urusan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Suri rumah yang layak mendaftar adalah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap berusia 55 tahun ke bawah. Antara manfaat perlindungan yang ditawarkan termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun keuzuran serta kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis.
Menariknya, bayaran caruman tahunan bagi SKSSR hanyalah serendah RM120 dan boleh dibayar sama ada oleh individu itu sendiri, pasangan, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga secara pendahuluan untuk tempoh perlindungan selama setahun.
Sebagai rakan promosi rasmi, CBP akan menyediakan kemudahan pendaftaran SKSSR di semua cawangan mereka di seluruh negara serta melaksanakan pelbagai aktiviti promosi menerusi platform digital.
“Rangkaian cawangan CBP akan bertindak sebagai pusat rujukan dan sokongan kepada pelanggan bagi mendapatkan maklumat dan pendaftaran skim ini. Kami juga akan terus menggiatkan kempen kesedaran melalui media sosial bagi memastikan mesej mengenai pentingnya perlindungan sosial untuk suri rumah sampai kepada seluruh lapisan masyarakat,” ujar Khairil Anuar.
Inisiatif ini sejajar dengan matlamat CBP untuk menjadi institusi kewangan koperasi yang prihatin terhadap keperluan semasa rakyat Malaysia, khususnya golongan wanita yang memainkan peranan penting dalam institusi keluarga dan masyarakat.