Nasional

Surat terbuka PENA kepada Yang di-Pertuan Agong

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) gusar jika Parlimen bersidang dalam masa terdekat ini, ketika kes baharu Covid-19 sangat tinggi, bakal menjadi kluster jangkitan yang baharu.

Berikut surat terbuka PENA

       Ruj. Kami: FK/PENA/001/2020/006 (01)

Tarikh: 9 JULAI 2021/ 28 ZULKAEDAH 1442H

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN  AL-MUSTAFA BILLAH SHAH

IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

D.K.P., D.K.M., D.K., D.M.N., S.S.A.P., S.I.M.P., D.K.(Terengganu)., D.K.(Johor),

S.P.M.J., D.K.M.B. (Brunei)., D.K. (Kedah)., D.K. (Perlis)., D.K. (Perak)., D.K. (Selangor) yang bersemayam pada masa ini di Istana Negara Kuala Lumpur dengan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraannya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Ampun Tuanku, sembah patik pohon diampun,

WARKAH SEMBAH RAKYAT SEMPENA PEMBUKAAN SIDANG PARLIMEN KHAS PADA 26 JULAI 2021

Pertamanya dengan penuh takzim, patik dan pimpinan organisasi mengangkat setinggi-tinggi sembah maklum atas pembukaan Sidang Parlimen pada 26 Julai 2021.

2. Pada kesempatan ini terlebih dahulu patik merafak doa yang penuh keikhlasan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong terus memperoleh keafiatan dengan penuh kedaulatan dan kebesaran-Nya serta dikurniai kesihatan yang baik dan dilanjutkan usia yang memerintah negeri dengan penuh hikmah dan kebijksanaan berdasarkan kata-kata azimat “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”.

Ampun Tuanku, sembah patik pohon diampun,

3. Patik dan kepemimpinan organisasi patik berasa sangat gusar apabila Sidang Parlimen yang dijadualkan pada 26 Julai 2021 akan meningkatkan risiko kes COVID-19 kerana bukan sedikit mereka yang berada di Parlimen kelak.

4. Sebagaimana yang diketahui, ketika Darurat bermula 12 Januari 2021, kes Covid adalah sebanyak 3,309, manakala pada hari ini, 8 Julai 2021, jumlah kes meningkat kepada 8,868. Perhimpunan yang besar itu dibimbangi akan mencetuskan rangkaian jangkitan baharu. Sehubungan dengan itu, patik sekalian tidak rela Duli Tuanku dikaitkan dengan peningkatan kes yang berpunca daripada pembukaan Sidang Parlimen tersebut.

5. Demikianlah sahaja yang patik dapat persembahkan dalam warkah menjunjung kasih sembah prihatin yang tidak sepertinya ini. Patik mohon akhiri kalam dengan sembah salam takzim jua adanya.

Wabillahi taufik walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Adalah patik berdatang sembah dengan segala hormat dan penuh takzimnya.

Sekian.

DR. MOHAMAD SALEEH RAHAMAD

Presiden

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

(Visited 357 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button