BeritaPolitik

Syed Saddiq perjelas kenapa lompat pagar

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan beliau terpaksa mengalah dan melompat pagar serta menggunakan ‘jalan tikus’ untuk mengelak konfrontasi dengan kumpulan ‘penyerang’ selepas dinasihat penganjur dan polis.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata kumpulan yang tidak diundang seramai kira-kira 200 orang itu tiba-tiba muncul di majlis rapat umum yang dihadirinya, di Ulu Tiram, Johor, Jumaat lepas dan enggan berundur walaupun diminta berbuat demikian.

Jelasnya, pada malam kejadian, beliau turut menghubungi secara peribadi Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk mendapatkan nasihat selepas beliau melihat situasi semakin di luar kawalan.

“Pihak penganjur dan polis berkata jika kami berhadapan dengan mereka keadaan boleh menjadi tegang serta lebih teruk, dan jelas, kami tidak mahu apa-apa konfrontasi kerana ia boleh melibatkan fizikal.

“Jadi kami buat pilihan selamat iaitu masuk ke dalam hutan. Bukan hanya saya, Exco Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang melakukan perkara yang sama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi makan tengah hari bersama peserta Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia, di sini, hari ini.

Kumpulan itu yang berkemeja-T merah dan hitam dikatakan melemparkan kata-kata kesat, memaki hamun dan mengugut anggota Armada selain meminta Syed Sadiq meninggalkan negeri Johor.

Berikutan kejadian berkenaan, polis telah menahan tiga individu untuk disiasat selepas laporan dibuat Armada Johor hari berikutnya.

Dalam perkembangan sama, ditanya mengenai laporan polis yang dibuat ke atasnya dan cadangan tindakan mahkamah oleh Pemuda UMNO selepas beliau memuat naik catatan di Facebooknya mengaitkan kumpulan berkenaan dengan UMNO, Syed Saddiq menjawab:

“Saya mengalu-alukan laporan polis mereka, dan saya dimaklumkan mereka akan menyaman saya dan saya mengalu-alukannya juga, seperti yang saya nyatakan, saya diberitahu oleh polis ketika saya diberi taklimat,” katanya.

Mengenai beberapa individu yang mengumumkan hasrat bertanding jawatannya yang akan dipertahankannya dalam pemilihan parti Syed Saddiq berkata beliau menyerahkannya kepada akar umbi untuk membuat pilihan.

“Ini merupakan pesta demokrasi dalam Bersatu dan pemilihan pertama…saya biarkan akar umbi untuk memilih dan buat keputusan, kerana dalam tempoh masa tiga ke empat tahun, Bersatu dan Armada ditubuhkan banyak perkara kami lakukan bersama sebagai satu keluarga.

“Kami nak pastikan pemilihan ini bergerak dengan sihat dan ia merupakan jalan untuk terus perkasakan parti,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 727 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button