JenayahNasionalNegeri

Op Tapis Khas: 364 ditahan, 525.89 gram dadah bernilai RM41,730.42 dirampas

SEBANYAK 364 telah ditahan dan diperiksa pada Op Tapis Khas Siri 1 hingga 7 mulai Januari hingga Disember tahun ini.

Op Tapis Khas ini dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hanya 267 orang sahaja yang berusia 19 hingga 58 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Katanya, daripada jumlah penahanan ini, sebanyak 15 kes berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Seksyen 39A (1) ADB pula melibatkan dua kes, Seksyen 39A (2) ADB (13 kes), Seksyen 39C ADB 1952 (2 kes), Seksyen 12(2) ADB 1952 (42 kes), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (10 kes), Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 (169 kes), “Wanted Person” (10 kes) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) pula tiga kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yusharifuddin berkata,  jumlah dadah yang dirampas sebanyak 525.89 gram iaitu jenis syabu 219.74 gram, heroin (121.27 gram) dan pil Yaba (184.88 gram).

Katanya, rampasan lain adalah daun ketum 550 kilogram, air ketum 67.97 liter dan kodien satu liter.

Tambah beliau, kesemua jenis dadah yang dirampas bernilai RM41,730.42.

Yusharifuddin berkata, daripada jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan ia boleh digunakan oleh 2,500 penagih dadah.

“Sebanyak 156 kes telah kita hadapkan ke mahkamah di sepanjang tempoh Op Tapis dilaksanakan,” ujar beliau.

Yusharifuddin berkata, Op Tapis ini ditumpukan sasarannya pada kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)/Program Perumahan Rakyat (PPR), jeti dan juga yang disyaki menjadi sarang penagih.

Katanya, operasi ini juga dilaksanakan bagi mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah di “hot spot” yang dikenalpasti.

“Sarang penagihan dadah telah dimusnahkan, tindakan ke atas penagih tegar, mengesan “wanted person” atas kesalahan dadah dan mengambil kaedah pencegahan ke atas pengedar ddah yang dikenal pasti,” katanya. – SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button