Ekonomi

SUPERB 2021 pemangkin pembangunan usahawan belia bumiputera generasi ekonomi pandemik

PERTANDINGAN keusahawanan syarikat pemula (start-up) SUPERB, anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kembali untuk Siri ke-16 dengan pembaharuan yang pastinya menarik minat para belia Bumiputera seluruh negara.

Program SUPERB yang berasaskan ‘business pitching’ dengan ganjaran geran permulaan bernilai sehingga RM500,000, kini dimantapkan lagi dengan segmen latihan intensif (accelerator) berfokus baharu yang lebih luas.

Program peningkatan kapasiti accelerator yang diperkenalkan akan memastikan peserta dapat mendalami  Kesinambungan dari cetusan idea perniagaan dari proses memulakan perniagaan, skill pengurusan, mengembangkan rangkaian serta memapankan perniagaan mereka.

Peserta yang melepasi peringkat saringan awal akan menjalani program accelerator di beberapa peringkat. TERAJU sebagai pemboleh cara strategik dalam memperkasakan agenda sosioekonomi Bumiputera menekankan kepada pembangunan asas perniagaan dari aspek pengurusan perniagaan, perkembangan rangkaian perniagaan yang aktif dan luas kepada usahawan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, En. Md Silmi Abd Rahman, “Sebagai penyelaras utama agenda pembangunan Bumiputera, TERAJU mempunyai komitmen jitu di dalam melahirkan usahawan belia Bumiputera yang berdikari, berwawasan dan tidak mudah putus asa, terutama di dalam era ekonomi pandemik ini, dengan idea perniagaan yang berdaya saing, berbentuk penyelesaian kepada isu semasa dan tuntas, seterusnya menghasilkan perniagaan yang lestari ke peringkat global.

“Potensi syarikat start-up adalah sangat besar, contohnya pada skala global, nilai ini mencecah USD3 trilion, setara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi  negara-negara G7.

“Di Malaysia pula, pertumbuhan syarikat start-up telah memberi kesan positif kepada ekonomi negara, mewujudkan banyak pekerjaan baru dan menyumbang kepada KDNK. Malah, Malaysia mendapat skor 10 dari segi prestasi dan jangkauan pasaran dalam Global Start-Up Ecosystem Report 2020 (GSER 2020).

“Melalui SUPERB 2021 yang diperkasakan ini, kami bermatlamat untuk mengasah bakat dan kebolehan belia Bumiputera serta memastikan kebolehlaksanaan idea perniagaan mereka.

“Tema-tema sektor industri di bawah SUPERB juga telah diolah selaras dengan sektor-sektor ekonomi berimpak tinggi atau Key Economic Growth Areas (KEGA) yang termaktub dalam halatuju rangka pembangunan
Bumiputera yang dibangunkan oleh TERAJU bagi jangka masa 10 tahun akan datang.

“Ia bertujuan untuk menyediakan landasan yang tepat, bagi usahawan belia Bumiputera untuk bermula dalam perniagaan. Pemuktamadan matlamat besar kami adalah untuk melahirkan generasi usahawan masa akan datang yang berintegriti, bermaruah dan berupaya bersama-sama menjulang pembangunan negara.”

Untuk tahun ini, SUPERB memberi penekanan kepada idea perniagaan berpaksikan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sepuluh kategori aktiviti pertumbuhan ekonomi yang diangkat sebagai tema projek SUPERB adalah ekonomi digital, kewangan Islam, pelancongan, pembuatan, halal dan makanan, pertanian dan komoditi, pertahanan dan keselamatan, pembinaan modular, aeroangkasa, serta logistik, pengangkutan dan kelestarian mobiliti.

Melalui program SUPERB 2021, usahawan Bumiputera berpeluang bukan sahaja memperbaiki teknik pembentangan perniagaan, malah menaik taraf kualiti idea perniagaan sekaligus mampu menjadi usahawan berintegriti, berinovasi, berdaya tahan dan berupaya membawa perniagaan mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Program ini juga menekankan kepentingan pendigitalan dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan masa
kini.

Penambahbaikan program SUPERB dilakukan dengan mengambil kira maklum balas para juri dari sesi pitching sebelum ini. Isu yang sering diketengahkan kepada para peserta adalah kelemahan dari segi pengetahuan asas perniagaan, selain daripada teknik pembentangan atau pitching mereka.

Untuk tahun ini, SUPERB 2021 mengambil inisiatif melancarkan program peningkatan kapasiti accelerator yang akan berlangsung selama enam minggu, di mana asas perniagaan para peserta akan dipertingkatkan.

Program ini membantu memastikan bahawa perjalanan keusahawanan mereka sentiasa disokong melangkaui
tempoh program ini sendiri, iaitu dari peringkat penciptaan idea, berterusan sehingga perniagaan mereka berjaya dan boleh memanfaatkan pelbagai program dan ekosistem perniagaan sedia ada di bawah TERAJU.

Menang atau kalah, semua peserta program accelerator SUPERB 2021 mendapat manfaat besar dan menjadi usahawan yang lebih berintegriti, berinovasi dan berdaya tahan.

Sejak dilancarkan pada tahun 2014, SUPERB telah berjaya melahirkan 208 usahawan ‘start-up’ Bumiputera dengan lebih dari 62% produk dan perkhidmatan mereka dikomersialkan di pasaran seluruh negara dan antarabangsa.

SUPERB 2021 terbuka untuk usahawan belia yang beraspirasi menjadi usahawan berjaya dengan menyertai program ini. Permohonan SUPERB 2021 kini dibuka sehingga 17 Oktober 2021. Sila layari https://superb.teraju.gov.my/home# untuk maklumat lanjut dan penyertaan sekarang.

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button