fbpx
Nasional

Sunway Group prihatin nasib rakyat Malaysia terjejas COVID-19

Ketepi perihal keuntungan

KINI bukan masanya untuk mengira keuntungan, mengambil kesempatan daripada suasana gawat untuk meraih pendapatan tetapi ia perlu ditumpukan bagi membantu golongan yang berada dalam kesusahan akibat penularan wabak berbahaya COVID-19 yang melanda negara.

Bukan mudah bagi sebuah syarikat konglomerat, Sunway Group mengorbankan nilai pendapatan sewa sehingga RM20 juta daripada para peruncit perdagangan bukan utama yang berniaga di pusat beli belahnya.

Ini satu nilai yang besar tetapi bagi memikirkan kepentingan dan kebajikan golongan peniaga yang turut terjejas akibat penyakit tersebut ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sehingga terpaksa menutup sementara premis bisnes masing-masing, ia merupakan satu langkah yang patut diberi pujian.

Semua peniaga terjejas, bukan sahaja mereka yang berniaga di warung, restoran, hotel, butik tetapi juga kalangan peniaga yang bertapak di pusat beli belah. Penularan wabak ini juga tidak mengira pangkat, nilai taraf hidup dan juga bangsa serta agama.

Ketepikan soal politik, rasis bangsa dan juga darjat seseorang kerana kerjasama serta kesepakatan dalam kalangan rakyat Malaysia sangat getir kini dalam menghadapi fasa kedua tempoh PKP ini.

Nilai RM20 juta itu termasuk di dalam komitmen sumbangan daripada Sunway Group dalam membantu Malaysia berdepan dengan krisis COVID-19.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini telah memaklumkan untuk menyumbang sebanyak RM34 juta bagi tujuan berkenaan.

Daripada dana itu, sebanyak RM1 juta akan disumbangkan kepada Tabung COVID-19, sebanyak RM12 juta untuk menanggung subsidi kos rawatan para pesakit dari hospital  milik Kementerian Kesihatan dan juga dari Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala RM20 juta adalah tawaran sewa secara percuma kepada peruncit perdagangan bukan utama di Sunway Malls.

Bersandar semangat keprihatinan tersebut, ia telah sedikit sebanyak menyuntik minat serta motivasi bagi para pekerja kumpulan berkenaan untuk turut sama menderma bagi menjayakan misi bagi membantu golongan yang berada dalam kesusahan ekoran krisis  berkenaan.

Sehubuangan itu, dengan semangat membantu seperti sebuah keluarga, kakitangan Sunway Group telah bersepakat secara sukarela membuat kutipan derma dengan kerjasama Yayasan Jeffrey Cheah.

Kutipan derma bagi dana #SunwayForGood itu telah mendapat sokongan dan  dan kelulusan daripada pihak pengurusan kanan syarikat.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Razman M. Hashim berkata, hasil kerjama tesebut, sumbangan derma yang berjaya dikutip dalam kalangan kakitangan Sunway Group sepanjang tempoh PKP itu  ialah sebanyak RM800,000.

Menurut beliau, ini merupakan hasil usaha daripada sokongan sebuah keluarga daripada Sunway Group dalam menghadapi cabaran luar biasa ekoran pandemik penyakit berbahaya ini.

“Ketika berdepan dengan kesulitan, selalunya keluarga akan bergabung membantu satu sama lain untuk menghadapi krisis. Inilah yang kami lakukan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu golongan yang memerlukan dan terkesan daripada penularan penyakit berkenaan termasuk juga kepada kakitangan dalam kumpulan juga,” katanya dalam kenyataan berhubung kutipan derma yang dijalankan dalam tempoh PKP baru-baru ini.

Sumbangan daripada dana #SunwayForGood itu akan diserahkan bagi membantu penjagaan kesihatan kakitangan barisan hadapan yang telah bertungkus lumus bekerja sepenuh masa sejak COVID-19 mula merebak di negara ini.

Dana itu juga akan diagihkan kepada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan utama dan kritikal ketika berkhidmat, kumpulan komuniti B40 yang tinggal dalam kawasan perbandaran yang dimajukan oleh Sunway di seluruh negara yang memerlukan bantuan.

Daripada dana #SunwayforGood itu juga, pek StaySafe yang meliputi topeng muka, suplimen Vitamin C dan sanitizer telah diagihkan kepada pekerja barisan hadapan termasuk yang terlibat dalam perkhidmatan utama serta kritikal dalam Sunway Group.

Kumpulan barisan hadapan Sunway termasuklah para pekerja yang terlibat dalam penjagaan kesihatan di Sunway Medical Centre di Sunway City Kuala Lumpur dan Sunway Medical Centre di Velocity di Cheras.

Ia juga melibatkan penjaga zoo yang sentiasa mengawasi binatang yang terdapat di Sunway Lagoon dan juga Sunway Lost World of Tambun, pekerja yang berkhidmat di bahagian hotel di seluruh hartanah perhotelan kumpulan termasuk kakitangan daripada bahagian penyelenggaraan, pengawal keselamatan dan polis bantuan bagi memantau dan mengawasi tahap keselamatan di semua komuniti dan bandar milik Sunway.

Selain itu,  Sunway Group juga turut menyumbang sebanyak RM300,000 bagi program #SunwayForGood Aid Now yang dibangunkan khusus untuk komuniti daripada golongan B40  yang tinggal di beberapa kawasan perbandaran yang dimajukan kumpulan seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 daripada dana #SunwayforGood telah disalurkan kepada Tabung Prihatin YKN-JKM COVID-19 melalui Yayasan Kebajikan Negara.

Tabung itu bakal mendapat manfaat daripada 12,000 penerima pada peringkat awal.

Sumbangan tersebut berbentuk barangan makanan kering yang boleh disimpan lama antara dua hingga tiga minggu untuk sebuah keluarga seperti sardine, mihun, tepung, beras, susu tepung, biskut dan minyak memasak.

Sementara itu, Sunway Group juga akan bekerjasama secara aktif dengan pihak bukan kerajaan (NGO) dan bakal melancarkan fasa terbaharu bagi program  #SunwayforGood Aid Now bagi membantu komuniti B40. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button