Ekonomi

Sunway, Celcom, Huawei bekerjasama majukan 5G, penyelesaian pintar

SUNWAY Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama untuk memajukan penyelesaian perbandaran pintar, merangkumi Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dengan jaringan generasi kelima (5G).

Cadangan kerjasama itu akan menyaksikan pembangunan penyelesaian pintar dalam bidang keselamatan awam, telekesihatan, e-pembelajaran, hospitaliti, riadah dan pengalaman runcit menggunakan teknologi telekomunikasi yang terkini.

Presiden Kumpulan Sunway Datuk Chew Chee Kin berkata kumpulan membayangkan Sunway City Kuala Lumpur menjadi model bandar raya lestari pintar Malaysia, tempat untuk didiami, bekerja, bermain, belajar dalam persekitaran selamat, sihat dan dihubungkan dengan Internet.

“Kami akan bermula dengan Sunway City Kuala Lumpur, tetapi kami merancang untuk mengembangkan ekosistem 5G ini ke semua perbandaran Sunway termasuk Sunway City Ipoh dan Sunway City Iskandar Puteri, Johor,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman 5G dan Penyelesaian Pintar hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Idham Nawawi berkata cadangan kerjasama itu akan meningkatkan pembinaan kapasiti teknologinya dan potensi dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang inovatif selain mewujudkan situasi menang-menang untuk memberi manfaat kepada industri, rakyat dan mencapai aspirasi digital negara.

Sementara itu, CEO Huawei Technologies (Malaysia) Michael Yuan berkata kerjasama tersebut akan menyaksikan penggunaan jaringan 5G Celcom dan penyelesaian IR4.0 yang inovatif dalam aset bangunan dan perbandaran Sunway di seluruh negara.

“Kami juga akan menyediakan teknologi untuk mentransformasikan Sunway sebagai bandar raya pintar utama di rantau ini,” katanya. – BERNAMA

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button