Nasional

Suntikan vaksin picagari kosong: tak habis-habis mengarut!

BENAR atau tidak tular video baru-baru ini berkenaan dakwaan seorang individu dikenali sebagai Simon Ng telah menerima satu suntikan vaksin picagari kosong ketika menghadiri program vaksinasi di Banting, Selangor. Dia telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Kapar, Klang pada 6 Julai lalu berhubung perkara terbabit.

Dakwaan ini amat serius kerana bahaya kepada rakyat dan menggugat serta mengancam program imunisasi kebangsaan. Ini kerana ia melibatkan integriti dan kepercayaan rakyat dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, “tidak habis-habis hal karut berlaku. Apa nak jadi dengan negara kita, Malaysia ini?”

Menurut beliau, banyak perkara sebelum ini berlaku seperti ketirisan dan dakwaan dan ini bukan perkara kecil apabila ia melibatkan suntikan kosong yang boleh mengarah kepada vaksin tersebut dicuri atau dijual di luar.

“Siasatan dan tindakan segera perlu dilakukan supaya kejadian isu ini tidak berulang namun siasatan pihak polis sahaja tidak memadai.

“Putra menggesa agar kerajaan mengwujudkan satu jawatankuasa khas bebas yang diketuai tokoh berintegriti bagi membuat penyiasatan menyeluruh terhadap kes ini termasuk berkenaan program vaksinasi yang sedang berjalan diseluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata lagi, siasatan jawatankuasa ini perlu dilakukan di samping siasatan oleh pihak polis. Ia bagi memastikan salah laku seumpama ini tidak berlaku lagi dan diambil tindakan keras terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Ia amat mengecewakan. Mungkin ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mencuri atau ada penyelewengan,” ujar beliau.

Katanya lagi, di Malaysia tidak pernah lekang isu salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan kakitangan pelaksana dan penguatkuasaan.

“Janganlah sambil menyelam, sambil minum air. Ambil kesempatan tanpa mengambil kira tanggungjawab, integriti dan takut pada Tuhan.

“Umpama pepatah Melayu, memang udang selalu ada di sebalik batu. Pokok tak akan bergoyang kalau tiada angin.,” katanya lagi.

Beliau berkata, apa yang berlaku (tular suntikan vaksin kosong) boleh memburukkan lagi persepsi dan tanggapan rakyat dalam usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 yang tidak tahu bilakah penghujungnya.

“Kita tidak mahu mencerminkan kegagalan kerajaan menguruskan program vaksinasi kebangsaan. Berbilion ringgit sudah dibelanjakan semasa dalam keadaan darurat ini,” katanya.

Ibrahim turut mengingatkan, jangan ada tangan-tangan ghaib yang cuba mengambil kesempatan untuk menjual vaksin kepada pasaran gelap atau memberi kepada rakan-rakan yang tidak layak menerima vaksin di fasa pertama ini.

Putra tidak berkompromi dengan mana-mana entiti yang cuba mensabotaj atau salah guna kuasa ketika rakyat dan negara begitu kritikal dangan ancaman Covid-19, kata beliau. – SM

(Visited 1,733 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button