Pencemaran

IWK nafi sebabkan air Sungai Gong jadi hitam

INDAH Water Konsortium Sdn. Bhd, (IWK) menafikan kejadian air Sungai Gong, Rawang, Selangor bertukar hitam semalam berpunca daripada pelepasan elfuen Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park (GBK134).

Petugas IWK di loji terbabit telah mengenalpasti kemasukan buangan bukan kumbahan berwarna kuning ke dalam kebuk masuk loji berkenaan sehingga menyebabkan efluen di peringkat proses akhir loji tercemar dengan warna kuning pekat.

“Sehubungan itu, petugas IWK terus menghentikan pelepasan discaj efluen dan operasi pembersihan segera dilaksanakan, dan akan siap sepenuhnya hari ini. Loji ini merupakan “Oxidation Ditch (OD) Plant” yang bersambung kepada 11,106 penduduk setara, yang hanya meliputi kawasan perindustrian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dalam satu kenyataan.

Jelas Narendran, kerja-kerja dos bahan kimia telah dijalankan dengan pantas bagi mengawal keadaan. Ketika ini, petugas IWK masih memantau dan mengawal kemasukan air kumbahan ke loji terbabit.

IWK mengesyaki terdapat pembuangan sisa secara haram yang berlaku berdekatan dengan loji tersebut sehingga bahan terbabit dapat mengalir masuk ke dalam loji.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, air Sungai Gong menjadi warna hitam tetapi tiada bau, dan disyaki disebabkan oleh pewarna. LUAS turut menyatakan terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji IWK.

Narendren berkata, kenyataan LUAS itu boleh mengelirukan orang awam dan sekali gus menunding jari kepada IWK biarpun punca sebenarnya berkemungkin disebabkan pembuangan sisa secara haram.

Katanya, loji rawatan air kumbahan hanya direkabentuk untuk merawat air kumbahan sahaja dan tidak mampu merawat apa-apa bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembetungan.

“IWK juga ingin melahirkan rasa amat kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air seperti kejadian ini tanpa membuat pemeriksaan rapi atau melaporkan maklumat secara menyeluruh.

“IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji dibawah selian IWK, sentiasa mengikut spesifikasi serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” kata Narendran.

Narendran berkata, sisa bukan kumbahan seringkali dimasukkan ke dalam kebuk pembetungan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sungai Gong mengalir masuk ke Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor yang membekalkan air ke Logi Rawatan Air Rantau Panjang dan menjadi sumber air kepada penduduk di Lembah Kelang.

Baru-baru ini pencemaran air Sungai Gong menyebabkan berjuta pengguna di Lembah Kelang terputus bekalan air selama seminggu.-SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button