Nasional

Sumpah laknat: Najib persoal keikhlasan Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR – Keikhlasan dan ketelusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mufti  Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihat dan menegur perbuatan sumpah laknat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipersoal.

Najib berkata, beliau sengaja mengumumkan untuk melakukan sumpah laknat dua hari lebih awal.

Menurut Najib, tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa agama seperti Jawi dan Mufti Wilayah untuk membantah atau menghalangnya.

Malah Najib berkata, pengumuman awal untuk beliau melakukan sesuatu berkaitan masjid bukan kali pertama dilakukannya.

“Saya pernah mengumumkan untuk bersolat Jumaat di Masjid Ar-Rahman (UM) lebih awal. Namun atas kesukaran dari pentadbiran masjid, saya batalkan hasrat dan tunaikan solat di Masjid Kerinchi yg berhampiran.

“Ya, saya orang yang mudah dibawa bincang.  Jika ada bantahan awal, sudah pasti saya akan menarik kembali hasrat saya. Malangnya tiada.

“Selepas dua hari saya bersumpah, maka Jawi dan pejabat mufti WP secara serentak mengeluarkan kenyataan. Mungkin ianya kebetulan,” kata Najib.

Dr. Zulkifli menerusi kenyataan media hari ini menyatakan sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali dalam bab li’an.

Manakala mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya jatuh kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.

Kata Dr. Zulkifli, mubahalah bukanlah dituntut sekiranya kes sedang dibicarakan. Apa yang lebih penting adalah bukti seperti pengakuan dan saksi, tidak eksklusif kepada sumpah sahaja.

Manakala, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah diambil kira sekiranya diminta oleh qadhi atau hakim.

Selain itu, menurut Dr. Zulkifli pada masa kini telah wujud mahkamah untuk membincang dan menyelesaikan isu-isu perundangan. Oleh itu, mahkamah adalah tempat lebih sesuai untuk melakukan sumpah.

Justeru menurut Dr. Zulkifli, Jawi sewajarnya menggubal peraturan melarang apa-apa majlis melibatkan sumpah atau sumpah laknat berkaitan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan untuk mengelakkan masjid dimanipulasi mana-mana pihak.

Najib berkata, dia  tetap menerima nasihat dan kritikan Mufti Wilayah dengan hati yang terbuka.

Namun menurut Najib, hatinya berasa cukup berat dan itu mungkin merupakan petunjuk dari Allah kepadanya bahawa isu bersumpah akan menjadi polemik besar.

Justeru Najib mengulangi doanya dengan kemuliaan yang Allah berikan kepada Saad bin Abi Waqqas.

”Ya, anda lebih faqeh dalam bidang agama. Dan anda lebih tahu kesan doa orang teraniaya.

“… Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggamanMu.

“Ya Allah! Aku berdoa sebagaimana doa yang diucapkan oleh Saad bin Abi Waqqas terhadap mereka yang telah memfitnah, berdusta dan cuba menganiaya diriku,

“Ya Allah Azza wa Jalla, jika mereka itu berdusta, berdiri kerana riya’ atau sum’ah, maka panjangkanlah umurnya, jadikan kehidupan mereka dalam kefakirannya dan hadapkanlah dia kepada fitnah dan pembalasan-Mu Ya Allah.

“Ya Allah! Sekiranya aku tidak bersalah dan tuduhan mereka itu ternyata dusta, timpakanlah laknat-Mu ke atas mereka dan timpakanlah laknat-Mu ke atas ahli keluarga mereka. Sesungguhnya azab Mu amat berat sekali….”-SM

(Visited 345 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button