BeritaNasionalPolitik

Sumpah laknat: Doa Najib diiringi doa netizen

SEPERTI dijanjikan, hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan sumpah laknat bagi menafikan beliau adalah individu yang mengarahkan pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Penafian tersebut berikutan pendedahan terbaharu, anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dijatuhi hukuman mati, Azilah Hadri dalam akuan bersumpahnya bahawa beliau menerima arahan ‘shoot to kill’ daripada Najib yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu dijadual melakukan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Pagi ini dalam hantaran terbaharunya di Facebook, beliau menitipkan doa agar mendapat pengampunan dan pembelaan yang sewajarnya.

Hanya dalam tempoh satu jam, hantaran itu menerima reaksi daripada hampir 10,000 netizen yang menyokong dan bersimpati dengannya.

Berikut adalah doa yang dititipkan Najib:

Sesungguhnya, segala puji bagi Allah. Kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan dan ampunan-Nya.

Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami. Dan dari kejahatan amal perbuatan kami.

Barangsiapa yang Allah berikan petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya.

Dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.

Dan aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Dia-lah Yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi  bahawa  Muhammad  adalah hamba dan Rasul-Nya.

Hari ini, hamba-Mu yang dhaif ini tampil memohon keampunan dari-Mu Ya Allah, dari segala dosa dan dari segala maksiat yang telah aku lakukan di sepanjang kehidupanku dan selama pemerintahan pentadbiran yang telah Engkau takdirkan buatku.

Demi Allah Azza Wa Jalla,Yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nampak, Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi, Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui segala sesuatu.

Tidak ada yang berhak diibadahi kecuali Allah, Pemilik singgasana yang Agung.

Tidak ada yang berhak diibadahi kecuali Allah, Pemilik langit dan bumi, dan Pemilik singgasana yang mulia.

Wahai tuhan yang menguasai alam.

Aku redha dengan ujian serta pertuduhan yang sedang aku hadapi ini dengan kesabaran dan ketabahan. Aku akan terus tabah menghadapi demi membersihkan diriku.

Aku redha dengan ujian apabila isteri dan anak-anak ku dihina oleh mereka dengan kesabaran yang Engkau berikan.

Aku terima kekejaman mereka menggunakan agensi-agensi kerajaan seperti SPRM dan LHDN terhadap diriku. Ya, mereka berkuasa. Tapi aku lebih percaya dengan kekuasaan Mu.

Namun, ya tuhan, fitnah yang kononnya aku mengarah membunuh seorang wanita warga asing adalah tuduhan yang cukup berat buat diriku.

Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggamanMu.

Ya Allah! Aku berdoa sebagaimana doa yang diucapkan oleh Saad bin Abi Waqqas terhadap mereka yang telah memfitnah, berdusta dan cuba menganiaya diriku,

Ya Allah Azza wa Jalla, jika mereka itu berdusta, berdiri kerana riya’ atau sum’ah, maka panjangkanlah umurnya, jadikan kehidupan mereka dalam kefakirannya dan hadapkanlah dia kepada fitnah dan pembalasan-Mu Ya Allah.

Ya Allah! Sekiranya aku tidak bersalah dan tuduhan mereka itu ternyata dusta, sesungguhnya azab Mu amat berat sekali.

Ya Allah bersempena dengan hari Jumaat di saat Engkau berjanji akan segala doa diperkenankan ini, aku memohon agar diperkenankan doa hamba-Mu yang dizalimi.

Amin ya robbal Alamin.

(Visited 789 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button