NasionalNegeri

Sumbangan wanita penting dalam pembangunan negara – Raja Puan Muda Perlis

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah, sumbangan wanita sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja amat penting dalam pembangunan bangsa dan negara.

Titah Baginda juga, wanita juga memainkan peranan utama bukan sahaja dalam pembentukan generasi akan datang malah sumber ekonomi yang penting.

Baginda bertitah, dengan sikap rajin bekerja dan tekun menjadikan golongan wanita sasaran utama perindustrian di Malaysia.

“Slogan ”pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya peranan wanita dalam pembangunan dan kemajuan negara,” titah Baginda.


Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk : “Wanita dalam Pembangunan Negara” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang semalam.

Raja Puan Muda merangkap Pengerusi YTF juga bertitah, wanita juga memainkan peranan bagi membangunkan negara melalui persuratan dan penulisan budaya tinggi berwahana bahasa Melayu.

Anugerah Sastera Negara Ke-13 dan Ke-14 misalnya telah dianugerahkan kepada sasterawan wanita sebagai
tanda penghargaan atas penghasilan karya yang bermutu tinggi, mendukung citra persuratan dalam pembinaan budaya ilmu dan beruapaya mengungkapkan ketinggian nilai hasil seni.

Para pembentang kertas seminar yang dimoderatorkan oleh Pensyarah Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh terdiri dari Penaung Akademi Dr. Har, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim, Pegawai Penyelidik Parlimen, Rozana Abdullah dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin.

Forum pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Prof. Datin Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah yang dimoderatorkan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan DBP, Fauzilahyatun Mustafa.

Terdahulu daripada itu pada sebelah paginya majlis pembukaan seminar selama sehari berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penasihat YTF yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. – SM

(Visited 44 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button