Politik

PRN Kedah: Sanusi kekal calon

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas memutuskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan mengekalkan Muhammad Sanusi diputuskan dalam mesyuarat diadakan pada petang Rabu.

Jelas beliau, ia berikutan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu belum hilang kelayakan untuk bertanding dan hanya baru berdepan proses pertuduhan di mahkamah.

“Kita telah putuskan bahawa beliau (Muhammad Sanusi) dikekalkan sebagai (calon) pilihan pertama. Tak ada masalah sebab dia akan bicara pun pada Oktober nanti.

“Setakat ini kita tak meletakkan sebarang syarat kepada beliau sebab apa yang kita lihat, pertuduhan terhadap beliau itu lebih bersifat kepada usaha untuk menggugat (kedudukan) beliau. Kita akan lihat bagaimana proses pendakwaan ke atas beliau nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri ceramah pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang malam tadi.

Beliau memberitahu, Pas juga bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung keputusan yang akan dibuat mahkamah selepas proses perbicaraan ke atas Muhammad Sanusi.

“Kita ready (sedia) dengan apa-apa (kemungkinan) yang bakal berlaku sebab keputusan itu mengambil masa yang panjang. Kita akan tunggu dululah perbicaraan dia dan keputusan dia nanti. Selepas itu baru parti akan buat keputusan.

“Pertuduhan ke atas beliau (Muhammad Sanusi) pun lebih bersifat usaha untuk menekan.

“Tapi saya nak kata, beliau dianggap menghina raja, saya berulang kali dengar (ucapan) tak ada disebut pun (penghinaan) institusi diraja Selangor.

“Secara peribadi kalau berlaku kesilapan dalam ucapan beliau, mungkin tak ada sebarang sekatan kepada beliau dan beliau lebih tahu apa yang beliau perlu ucap dan sebagainya,” ujarnya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, isu melanda Muhammad Sanusi menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) sekali gus mendapat simpati termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

“Saya nampak gelombang kemarahan dan kekecewaaan rakyat itu sangat tinggi terutamanya bila dia ditangkap pukul 3 pagi padahal dia dah buat keputusan akan hadir ke mahkamah.

“Dia menteri besar. Dia bukan ahli biasa, dia pemimpin, ketua negeri dan dia beritahu dia akan hadir ke mhkamah. Tiba-tiba pukul 3 pagi dia diserbu, ditangkap dan itu menimbulkan kemarahan.

“Apapun isu-isu berkaitan mahkamah ini kita serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan. Insya-Allah kita harapkan keadilan buat beliau, ” katanya.

Selasa lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik minggu lalu.

Pemimpin itu juga dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja. – SM

BACA Sanusi mengaku tak bersalah pertuduhan berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button