Agama

Sultan Selangor Dukacita Keputusan Mahkamah Persekutuan, Gesa SIS Tidak Guna Nama “Islam”

Shah Alam, 19 Jun 2025 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa terhadap SIS Forum (Malaysia).

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini menyatakan bahawa fatwa yang dikeluarkan pada 31 Julai 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak terpakai kepada entiti seperti SIS Forum (Malaysia), sebaliknya hanya kepada individu.

Menyambut kenyataan media Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Baginda bersetuju bahawa penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama Sisters in Islam (SIS) dan penerbitan berkaitan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

“Perkataan ‘Islam’ tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya atas nama syarikat atau pertubuhan tanpa merujuk kepada autoriti agama, kerana ia melibatkan kesucian dan kefahaman masyarakat,” titah Baginda.

Sehubungan itu, sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, Baginda menggesa SIS Forum (Malaysia) untuk tidak lagi menggunakan nama “Sisters in Islam” dalam mana-mana bentuk penerbitan atau saluran rasmi yang dikaitkan dengan entiti tersebut.

Keprihatinan Baginda mencerminkan usaha berterusan untuk memelihara kemurnian ajaran Islam dan memastikan agar penyampaian ilmu agama tidak disalahertikan atau dimanipulasi atas nama kebebasan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button