Nasional

Sultan Selangor buka terminal pelayaran

Pengambilalihan dan penjenamaan semula Boustead Cruise Centre, yang kini dikenali sebagai Pelabuhan Klang Cruise Terminal (PKCT), adalah tepat pada masanya untuk merancakkan industri pelancongan di Selangor, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dahulu dimiliki oleh Boustead Holding Berhad, PKCT kini dimiliki oleh anak syarikat Northport (Malaysia) Bhd Klang Port Management Sdn Bhd dan Westports Malaysia Sdn Bhd.

“Saya yakin dengan usaha yang dilakukan oleh PKCT. Terminal itu boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa, serta menjana semula pendapatan industri pelancongan di Selangor yang terjejas teruk akibat Covid- 19,” titah baginda ketika merasmikan terminal itu hari ini.

Baginda bercadang agar kemudahan dan infrastruktur di terminal itu dipertingkatkan bagi menjadikannya sebagai terminal pelayaran penumpang antarabangsa, selain terminal itu dijadikan tempat mempamer dan mempromosikan produk kraftangan tempatan.

Kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan PKCT untuk mempromosikan produk kraftangan tempatan berkualiti tinggi kepada penumpang pelayaran dengan mengadakan pameran di terminal, tambahnya.


Majlis itu turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, pengerusi PKCT Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata rancangan sedang dibuat untuk memperluaskan dermaga di terminal itu bagi membolehkan lebih banyak kapal persiaran berlabuh, serta menaik taraf kemudahan di terminal untuk menampung lebih ramai penumpang.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan PKCT sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan negara dan pemacu ekonomi Selangor”, katanya.

 

(Visited 58 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button