BeritaNasional

Sultan Selangor berduka sikap bapa haruan makan anak

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan dukacita baginda dengan peningkatan kes pengabaian tanggungjawab suami dan jenayah seksual rumah tangga yang semakin berleluasa berlaku kebelakangan ini.

Sambil mengesyorkan hukuman yang lebih berat, baginda bimbang jika dibiarkan, keadaan itu akan mendatangkan implikasi negatif serta meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat.

Perasaan dukacita dan kebimbangan Sultan Selangor itu disampaikan mimbar menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Keutamaan Menjaga Institusi Keluarga’ yang disediakan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor.

“Sesungguhnya kes-kes pengabaian tanggungjawab suami dan jenayah seksual dalam rumah tangga yang semakin berleluasa telah menzahirkan kebimbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Baginda amat berdukacita dengan kes-kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan implikasi yang negatif serta boleh meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat.

“Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa yang terlibat,” kata mimbar.

Mengulas lanjut menurut mimbar, bermula dengan membiarkan kelakuan tidak bermoral, ketagihan melayari laman web lucah, akhirnya membawa kepada perbuatan yang lebih hina seperti zina, sumbang mahram dan gejala yang sering berlaku dalam rumah tangga atau disebut sebagai ‘haruan makan anak’.

“Apa yang berlaku seolah-olah mereka tidak mengenal batas-batas antara pahala dan dosa, halal dan haram bahkan tidak mengendahkan ancaman azab neraka Allah SWT di akhirat.

“Amat mengejutkan apabila sebuah akhbar tempatan baru-baru ini mendedahkan tindakan pihak berkuasa menahan dan mendakwa seorang bapa yang telah melakukan 105 tuduhan rogol dan liwat terhadap anak kandung sendiri.

“Jika begini, apa lagi harapan seorang anak terhadap bapanya? Adakah seorang bapa terlalu jahil akan tanggungjawab dan peranannya,” kata mimbar lagi.

Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga juga diminta bertindak segera sekiranya mendapati terdapat tanda-tanda atau gejala yang membimbangkan berlaku dalam rumah tangga seperti gangguan seksual.

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button