BeritaPendidikan

Kerajaan pastikan tiada murid tercicir, walaupun situasi pandemik

Kerajaan akan memastikan tiada murid yang dinafikan daripada mendapat pendidikan sewajarnya termasuk Orang Asli dan pribumi, murid berkeperluan khas (MBK) dan kanak-kanak tanpa dokumen.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam agenda pendidikan inklusif, kerajaan juga memberi tumpuan mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan itu menerima pendidikan seperti murid lain.

Menurut beliau, hasrat itu sebagaimana terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan, selain relevan dan fleksibel pada setiap masa dan tempat.

Di bawah pelan itu, kata beliau, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga difokuskan dalam melaksanakan e-pembelajaran, iaitu pengajaran berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Arus globalisasi ini telah pun membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia. Dalam aspek ini, guru-guru berperanan penting dalam mengadaptasi kandungan pedagogi berteras teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Guru hendaklah menyediakan mindset bahawa alam sejagat ini merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita. Ini menuntut guru untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

“Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Guru 2021 kali ke-50, hari ini.

Muhyiddin berkata, gelombang penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun lalu menyebabkan proses pembelajaran dan pengajaran konvensional banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan.

Kata beliau, pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah PdP untuk memastikan murid kekal menerima pendidikan walaupun sekolah ditutup.

Beliau menjelaskan, perubahan yang berlaku jelas membuktikan bahawa konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara ‘four walls of room’ dan konsep pembelajaran yang baik mesti relevan pada setiap masa dan setiap tempat.

“Dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya warga pendidik. Hari ini, pelantar pembelajaran digital mendominasi kaedah pembelajaran sebagai sokongan pembelajaran sedia ada yang dijalankan dalam bilik darjah.

“Sejak 15 Jun tahun lalu, KPM mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ atau DELIMa yang merupakan salah satu peluang untuk para guru berusaha memperkasa diri dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran secara digital,” katanya.

Perdana Menteri berkata, guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid dapat mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu.

Kata beliau, walaupun guru berhadapan dengan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian terutamanya apabila PdP di rumah (PdPR) dilaksanakan, namun beliau melihat ramai dalam kalangan guru berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

“Saya ucapkan syabas atas ikhtiar dan inovasi saudara dan saudari sekalian. Ini merupakan suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan yang luas dan saya berharap agar pihak Kementerian Pendidikan akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri demi menambah baik pendekatan PdP dari masa ke semasa,” katanya.

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button