Nasional

Sultan Ibrahim berangkat ke Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Perbincangan Khas tersebut untuk memperhalusi pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh para pemimpin parti politik kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullahtelah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara, bermula 9 Jun lalu hingga petang semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata selain pemimpin politik, baginda turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria di Istana Negara.

Dalam sesi menghadap oleh pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda telah berkenan mendengar pandangan-pandangan mereka mengenai pelbagai isu.

“Perlu dijelaskan di sini bahawa sesi-sesi menghadap kalangan pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keperihatinan Seri Paduka Baginda dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh Darurat.

“Susulan sesi-sesi menghadap ini, pandangan-pandangan yang telah dimemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok, yang akan bermula pada jam 2.30 petang.

“Selain daripada itu, beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok,” katanya.

Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas pada 25 Oktober tahun lalu dan bersidang selama tiga jam di Istana Negara.-SM

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button