Berita

Sultan Brunei Stabil dan Sihat, Hanya Perlukan Rehat

KEBAWAH  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri Brunei, Baginda dinasihatkan oleh pakar kesihatan Malaysia untuk berehat beberapa hari di IJN selepas mengalami keletihan semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara pada 26 dan 27 Mei lalu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengesahkan keadaan kesihatan Baginda adalah stabil dan tiada sebarang kebimbangan besar yang dilaporkan oleh pihak perubatan.

“Baginda hanya mengalami keletihan ringan akibat jadual padat sepanjang sidang ASEAN dan kini sedang berehat seperti yang dinasihatkan,” kata Datuk Seri Anwar kepada media.

Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia pada 25 Mei bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bersama ketua-ketua negara serantau lain, di mana pelbagai isu kerjasama ekonomi dan geopolitik dibincangkan.

Pihak Istana Brunei turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas doa serta keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kesihatan Baginda.

Baginda dijangka kembali ke Brunei Darussalam sebaik sahaja selesai menjalani pemantauan dan tempoh rehat seperti disyorkan oleh doktor.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button